SELAMATKAN ORANG UTAN BERSAMA DIDI & FRIENDS, WWF

Marina Sahabudin

Digital Durian melancarkan sebuah lagu baharu berjudul “What Would You Do” bersempena dengan sambutan Hari Orang-utan Antarabangsa pada 19 Ogos ini.

Ketua Pegawai Operasi Digital Durian, Hairulfaizalizwan Ahmad Sofian berkata, lagu baharu tersebut merupakan kolaborasi istimewa bersama WWF-Malaysia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar.

“Sebelum ini pada tahun 2020, Didi & Friends buat julung kalinya melancarkan sebuah lagu berkaitan pemuliharaan alam sekitar berjudul, “Even I Know That”, bersama dengan “Takkan Tak Tahu”, yang mana kedua-dua lagu tersebut telah menyaksikan penerimaan menggalakkan dan ditonton ramai rakyat Malaysia khususnya, dengan merekodkan jumlah tontonan sebanyak 14 juta di saluran YouTube Didi & Friends.

“Mengulangi formula kejayaan dan misi yang sama, besar harapan kami menerusi lagu “What Would You Do”, ia dapat mendidik dan mendorong kanak-kanak untuk turut sama menyedari akan hakikat ‘rumah’ kita ini juga menjadi ‘rumah’ kepada hidupan liar indah yang lain, seperti orang-utan, haiwan yang berasal dari hutan hujan di Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Jelas Hairul, kanak-kanak perlu diberikan pendidikan awal untuk sama-sama bergandingan memelihara haiwan-haiwan yang hampir pupus dan kita tidak boleh memusnahkan habitat sedia ada mereka.

“Lagu ini turut didatangkan dalam Bahasa Melayu, “Buatlah Sesuatu”, dengan objektif utama untuk menyeru peminat-peminat Didi & Friends khususnya, turut sama membantu memelihara orang-utan.

“Kami akan menggunakan watak animasi kami, Pak Atan sebagai duta untuk mendidik peminat-peminat cilik kami mengenai kempen ini,” katanya.

Tambahnya, muzik video ini menceritakan kisah orang-utan cuba menyelamatkan diri masing-masing dari hutan yang didiami mereka, dengan latar dramatik memperlihatkan jentolak dan kenderaan pengorek menghancurkan ‘rumah’ sedia ada mereka, dan memusnahkan pokok-pokok di sekelilingnya.

“Walaupun orang-utan diancam oleh kemusnahan dan pemecah-belahan habitat, WWF-Malaysia tetap teruja untuk memaklumkan di sini bahawa, dengan kerjasama dan sokongan rakan-rakan strategik dan mereka yang berkaitan, jumlah keseluruhan orang-utan di Malaysia kini adalah stabil.

“Terima kasih diucapkan kepada anda semua. Kejayaan ini dicetuskan oleh usaha pemuliharaan yang dilaksanakan oleh banyak pihak, penjagaan hutan oleh pihak badan pengurusan berkaitan, dan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan untuk memupuk kesedaran ramai akan kepentingan memelihara hidupan liar,” katanya.

LAGU YANG CATCHY

Sementara itu, Pengarah Kreatif Didi & Friends, Khairul Ammar, berkata, penggunaan latar lagu yang ‘catchy’, senang untuk diingati, disertakan dengan lirik yang ringkas dan animasi yang penuh dengan warna-warni dilakukan agar dapat menepati citarasa kanak-kanak yang menontonnya.

“Kami menggunakan karakter seekor anak orang-utan, bagi memudahkan penonton kanak-kanak memahami dengan lebih jelas isu yang dihadapi orang-utan, dari kaca mata haiwan ini sendiri.

“Lagu ini menyeru kanak-kanak untuk berfikir dan bertindak sama membantu memulihara haiwan liar ini. Menerusi kolaborasi bersama WWF-Malaysia ini, kami berharap agar dapat menyasarkan lebih banyak pihak, dan mudah-mudahan di masa hadapan, kita akan memiliki persekitaran yang lebih hijau, segar, dan mampu menyelamatkan lebih banyak haiwan untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.

Pengarah Eksekutif / Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Sophia Lim berkata, pihaknya merakamkan jutaan penghargaan kepada Digital Durian di atas usaha mereka membantu memupuk kesedaran dan sokongan di kalangan orang awam akan kepentingan memulihara haiwan seperti orang-utan dengan cara pendekatan yang lebih menyeronokkan menerusi sebuah lagu istimewa dengan pembabitan watak-watak animasi Didi & Friends.

“Kita semua perlu berganding bahu dan bekerjasama untuk melindungi hidupan liar terutamanya yang makin pupus seperti orang- utan Borneo ini.

“Haiwan ini mempunyai keutamaan penting dalam rantaian ekosistem perhutanan. Untuk makluman, orang-utan bertindak sebagai penyebar biji benih. Kita memerlukan hutan yang bersih dan sihat, demi memastikan kita semua mendapat pengudaraan yang nyaman, air yang segar, mitigasi perubahan iklim dan bagi tujuan rekreasi,” katanya.

Ketahui lebih lanjut mengenai cara-cara membantu pemuliharaan orang-utan dan inisiatif penghutanan semula di wwf.org.my/orangutan.

Lagu “Buatlah Sesuatu” akan dilancarkan secara rasminya pada 16 Ogos 2021 di saluran Astro Ceria (CH611).

Manakala pelancaran di platform YouTube untuk kedua-dua versi akan diadakan pada 19 Ogos, di saluran YouTube Didi & Friends.

Untuk menggalakkan peminat turut sama bertindak dalam usaha menyelamatkan ‘rumah-rumah’ orang-utan, bersempena dengan pelancaran lagu terbaharu ini, Didi & Friends dengan ini menjemput peminatnya untuk menyertai pertandingan #PokokPakAtan.

Peminat cilik dijemput untuk menanam sebatang pokok untuk diri masing-masing atau untuk Pak Atan dan tag penganjur ketika dalam durasi pertandingan.

Anda berpeluang untuk memenangi hadiah barangan cenderahati menarik dari Didi & Friends dan WWF-Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai pertandingan #PokokPakAtan, nantikan pengumuman seterusnya di laman-laman rasmi media sosial Didi & Friends.

-MF-

Amalina MF

Amalina MF

Artikel Berkaitan

MUZIUM MENARIK DI MELAKA

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *