Nazirah Hassan
MELAKA – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Melaka telah mengumumkan
majlis akad nikah dibenarkan dengan kawalan SOP yang ketat.
Dalam ciapan yang dikeluarkan oleh facebook agensi tersebut, bakal pengantin dan wali pengantin perempuan juga perlu mengemukakan salinan ujian calitan Covid-19 dengan keputusan negatif dalam tempoh tiga hari sebelum majlis akad nikah berlangsung. Jika keputusan didapati positif, majlis perlulah ditunda dan perlu dimaklumkan kepada jurunikah sehari lebih awal.
Begitupun, majlis pernikahan hanya boleh dilakukan di lokasi yang dibenarkan seperti Masjid Kariah dan Pejabat Agama Islam Daerah dengan hanya tujuh orang termasuk pasangan pengantin, wali, jurunikah dan saksi daripada ahli Masjid Kariah, Pejabat Agama Islam Daerah atau MAIM sahaja dibenarkan untuk menghadiri majlis akad nikah tersebut.
Dalam perkembangan sama MKN menerusi keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Covid-19 Negeri pada 20 Ogos lalu turut membenarkan
individu yang telah lengkap dua dos vaksin diberikan kelonggaran untuk melakukan aktiviti riadah secara perseorangan di kawasan terbuka seperti joging, berbasikal, dan ‘skateboarding’.
Individu yang telah lengkap divaksin juga dibenarkan untuk bergerak ke lokasi lebih dari 10 km tanpa melepasi daerah atau negeri berdasarkan jumlah kapasiti kenderaan.
-MF-