Marina Sahabudin
Pelbagai usaha dilaksanakan penggiat seni tanah air bagi memeriahkan sambutan Merdeka di seluruh negara.
Sempena sambutan Hari Merdeka ke-64, Meja Poedjangga dengan kerjasama dengan Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (Melaka) dan Ikatan Persuratan Melayu tidak ketinggalan menganjurkan Dondang Puitika Melaka (DPM).
Program tersebut merupakan konsert muzikalisasi puisi yang diadakan secara atas talian pada hari Merdeka ini.
Ia menghimpunkan barisan seniman dan tokoh terkenal negara termasuk Penerima Anugerah Sastera Asia Tenggara iaitu Prof. Dr. Lim Swee Tin dan Zaen Kasturi, Lin Haslinaz (Deklamator Kebangsaan), Liza Yamis dan Rani Embi (Tokoh Seni dan Budaya Negeri Melaka).
Konsert muzikalisasi puisi itu juga menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Meja Poedjangga Malaysia yang juga merupakan penyanyi lagu puisi, Umar Uzair mempersembahkan empat buah lagu puisi.
Tidak ketinggalan persembahan Dondang Sayang dari JKKN Melaka.
Umar berkata, Dondang Puitika Melaka adalah cetusan ideanya sendiri dalam usaha mengangkat sastera dan kesenian negara.
“Saya menyambut baik perhatian yang diberikan pihak kerajaan berkenaan sedikit kelonggaran untuk pekerja seni berkarya dan berharap pada tahun ini dan seterusnya pandemik tidak menghalang kita untuk mengadakan program sama ada secara langsung ataupun dalam talian.
“Sasterawan dan seniman seharusnya terus maju ke hadapan bersama manfaat teknologi. Persembahan secara norma baharu ini kita usahakan sebagai satu cara agar masyarakat tidak melihat sastera terkebelakang,” katanya yang tampil dengan single baharu berjudul Cenderawasih dari album puisi Hasrat Sang Enggang.
Menurut Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Alias, DPM adalah usaha untuk memperkasa dan mengantarabangsakan budaya serta sastera negara yang akan dibawa secara berterusan kepada belia dan masyarakat.
“Ia juga dijadikan wadah untuk mengeratkan hubungan masyarakat melalui puisi dan sastera, selain menggalakkan kegiatan seniman bahasa, sastera dan budaya yang terkesan akibat penularan krisis wabak pandemik Covid-19,” katanya.
Pengisian utama DPM 2021 ialah Persembahan Khas yang membariskan dua orang penyair terkenal yang telah menerima Anugerah SEA WRITE 2010 (sebuah anugerah khas berprestij di Asia Tenggara) iaitu Zaen Kasturi, anak jati Kuala Sungai Baru, Melaka, serta Prof. Madya Dr. Lim Swee Tim.
Turut membuat persembahan adalah Penyair Undangan Dr. Sastri Bakri (Indonesia), Lin Haslinaz, Asmidar, Aflieza Arshad (Deklamator Kebangsaan), Liza Yamin (Tokoh Penggerak Budaya Negeri Melaka), Adie Asraf (Penggiat Muda Dondang Sayang Melaka – juga anak Allahyarham Nyonya Tan), Isa Maarof, Mohd Noor, Idham, Malek dan Sufrei (kesemuanya Penyair Muda Negeri Melaka).
-MF-
sumber : Sinar Harian