Marina Sahabudin
MELAKA – SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) menyeru rakyat Malaysia khususnya yang berada di Melaka memerdekakan minda daripada sikap kurang prihatin terhadap kebersihan alam sekitar.
Ia sekaligus diharap dapat mengubah sifat lebih positif dalam menguruskan sisa pepejal secara berhemah, melaksanakan Separation
at Source (SAS), Reduce, Reuse & Recycle (3R), amalan kitar semula dan mengambil
tanggungjawab memastikan kebersihan alam sekitar dan negara empena sambutan
bulan kebangsaan tahun ini.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, sebagai syarikat konsesi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM
Environment memainkan peranan penting dalam mendidik dan memberi kesedaran kepada
masyarakat umum tentang kepentingan amalan kitar semula dan penjagaan kebersihan
terutamanya sewaktu negara sedang dilanda pandemik Covid-19.
“Cabaran utama sejak 64 tahun kemerdekaan untuk membentuk pemikiran rakyat yang merdeka daripada sikap tidak ambil peduli tentang kebersihan serta manfaat amalan kitar semula.
“Peningkatan jumlah janaan sisa pepejal setiap tahun amat membimbangkan. Kesannya
kepada ekosistem negara dan kos perbelanjaan yang tinggi bagi melupuskan sisa pepejal,” katanya.
Justeru SWM Environment sentiasa berusaha memberi pendidikan dan kesedaran awam mengenai kepentingan amalan pengasingan sisa di punca (SAS) dan 3R supaya ianya dapat menyumbang
kepada pengurangan janaan sisa pepejal yang perlu dilupuskan di tapak pelupusan.
“Jumlah kes sampah longgok dan pembuangan sisa pepejal secara haram di kawasan sungai
dan saliran, bahu-bahu jalan, jalan mati dan lain-lain kawasan yang tersembunyi turut meningkat.
“Kesan daripada perbuatan ini bukan sahaja menyumbang kepada pencemaran alam sekitar
malah mengganggu pemandangan dan boleh menjadi faktor penularan wabak penyakit kepada
masyarakat setempat.
“Sempena bulan kebangsaan ini, SWM Environment berharap masyarakat lebih prihatin terhadap pemeliharaan alam sekitar dan kepentingan amalan kitar semula dalam memastikan pertumbuhan dan kestabilan ekonomi yang mampan,” katanya.
Tambahnya, impak daripada kelestarian alam
juga bakal menentukan masa depan negara serta anak-anak yang bakal menerajui negara suatu hari nanti.
-MF-