Marina Sahabudin
TERENGGANU – Dua Portable Water Treatment Plant (Loji Rawatan Air Bergerak) diletakkan di Dataran Jeram Hulu di sini menerusi Misi Bantuan Air Bersih dilaksanakan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia bersama Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu dengan kerjasama syarikat Ranhill.
Menerusi laman sosial rasmi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato Seri Dr. Ahmad Said, loji rawatan ini mampu mengeluarkan bekalan air bersih sebanyak 240,000 liter air yang boleh diminum bagi memberikan kemudahan kepada penduduk di kawasan yang terjejas.
Pada masa sama, sebanyak 23 tangki air disediakan Ranhill, Pemuda dan Puteri UMNO menggunakan lori untuk diagihkan kepada penduduk di kampung terlibat.
Mereka juga mewujudkan 12 pasukan untuk membantu proses agihan air yang akan bergerak di Kawasan Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Batu Rakit setiap hari.
Loji ini akan beroperasi sehingga jam 1 pagi setiap hari sehingga krisis air pulih.
Sehubungan itu, penduduk yang mengalami masalah air boleh mengambil bekalan air bersih di Dataran Jeram Hulu.
“Insya-Allah dengan adanya dua loji ini dapat mengurangkan beban rakyat yang terjejas akibat krisis air. Semoga krisis air ini segera diselesaikan dan didoakan dipermudahkan semua urusan.
“Terima kasih kepada Ranhill, Pemuda UMNO, Puteri UMNO dan semua yang menjayakan program ini,” katanya.
Hadir sama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan, Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus Apli Yusof dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Terengganu Norfuzilawati Yusoof.
-MF-
sumber : FB Ahmad Said