Marina Sahabudin
MELAKA – Penggiat seni, artis dan pekerja industri kreatif kini mampu menarik nafas lega apabila pengumuman kelonggaran SOP membenarkan pembangunan dan penyiaran kandungan kreatif kembali beroperasi.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, beliau beharap perkembangan industri kreatif yang benar-benar memerlukan ‘jump-start’ ini dapat dibantu kerajaan dengan menyalurkan serta memperhalusi mekanisme yang lebih lancar, memudahkan dan lebih praktikal dalam sektor itu.
Menurutnya, pasca Covid-19 ini menyebabkan ramai penggiat industri terjejas khususnya pekerja, krew serta aliran tunai bagi syarikat penerbit dan produksi.
“Sebelum pengumuman tersebut, saya berkesempatan bertemu empat mata dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia baharu, Tan Sri Annuar Musa dan mencadangkan beberapa usul kepada beliau khususnya berkaitan industri kreatif.
“Sepanjang saya menjadi anak seni, banyak pengalaman yang membuka mata saya perihal industri kreatif ini. Ada beberapa perkara wajar ditambah baik sesuai dengan perkembangan dan keperluan semasa bagi seluruh pekerja dalam industri ini,” katanya.
Jelas beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Jasin itu, antara perkara disampaikan tetmasuklah kerajaan meneliti semula perundangan sedia ada berkaitan industri pekerja agar kebajikan pekerja dijamin di sisi undang-undang.
“Ini termasuklah mempertimbangkan untuk menambah baik perlindungan hak cipta terpelihara dan royalti bagi karya, hasil dan kerja seni yang diterbitkan dan memperkemas serta memperkasa persatuan-persatuan pekerja industri kreatif dengan melibat urus wakil kategori pekerja industri kreatif secara bersistematik untuk melonjakkan lagi prestasi industri kreatif,” katanya.
Jelasnya, dia gembira kerana cadangannya itu diterima baik Tan Sri Anuar.
“Saya zahirkan kesyukuran kerana mungkin ini titik permulaan kepada perubahan dan pemerkasaan dalam dunia seni.
“Memandangkan kelonggaran SOP telah diberikan, saya harap agar rakan-rakan seni mematuhi SOP demi keselamatan bersama. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga,” katanya.
-MF-
sumber : FB Dira Abu Zahar