MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
MELAKA: Lima prinsip Rukun Negara perlu dihayati dan dijiwai dalam setiap diri individu dari setiap lapisan masyarakat di negara ini kerana ia terbukti menjadi kunci kepada keutuhan perpaduan dan keharmonian antara kaum sejak sekian lama di negara ini.
Penolong Pesuruhjaya Bersekutu Pertahanan Awam, Datuk Prof. Dr. Baharudin Puteh berkata, menerusi penghayatan tersebut, ia akan dapat memastikan negara terus makmur, membangun dan berdaya saing serta gemilang di masa hadapan.
Menurut Baharudin, setiap rakyat bukan sahaja perlu mengetahui bahkan perlu memahami makna tersurat dan tersirat Rukun Negara kerana ia mewujudkan satu kesedaran kepada rakyat mengenai perpaduan.
“Rukun Negara sangat penting kerana ia merupakan panduan kepada rakyat Malaysia agar membentuk sebuah masyarakat yang bersatu padu, menghormati dan mematuhi undang-undang,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu progam Webinar bertajuk Perpaduan Keluarga Malaysia Dalam Konteks Rukun Negara anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM), di sini, hari ini.
Menurut Baharudin, Rukun Negara juga adalah asas panduan kepada kehidupan rakyat dalam membentuk jati diri yang kukuh dan ia mampu membentuk jiwa bangsa Malaysia yang mempunyai semangat patriotik, bersatu padu dan patuh kepada peraturan ditetapkan.
Katanya,lima prinsip Rukun Negara itu mampu memupuk perpaduan keluarga Malaysia yang mempunyai semangat cintakan tanah air serta mewujudkan nilai murni dan toleransi yang tinggi di kalangan rakyat.
“Perpaduan Keluarga Malaysia ini sangat penting jika kita mahu negara kita kekal aman, makmur dan berjaya menjadi negara maju pada masa akan datang.
“Justeru itu, semua masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik perlulah bersama-sama berganding bahu memajukan serta melakukan terbaik untuk negara,”katanya.
–ends-