PPRN BAKAL DIANGKAT ACARA TAHUNAN

Marina Sahabudin

MELAKA – Pertandingan Pidato Rukun Negara (PPRN) Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang di-Pertua Negeri Melaka bakal dijadikan acara tahunan.

Cadangan tersebut dikemukakan kerajaan negeri berikutan ia berpotensi menarik lebih ramai penyertaan pada masa akan datang.

Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Seri Ismail Othman berkata, penganjuran memberangsangkan kali ini berjaya melibatkan 970 peserta tanpa mengira umur dan bangsa

“Ia membuktikan pidato masih relevan dianjurkan dalam kalangan masyarakat meskipun zaman semakin modrn.

“Pertandingan ini perlu diteruskan bagi memartabat lima prinsip Rukun Negara. Selain itu ia merupakan usaha mewujudkan kefahaman, amalan serta meningkatkan penggunaan Bahasa Melayu dalam kehidupan seharian masyarakat berbilang kaum.

“Saya harap tahun akan datang ia dapat dilakukan secara bersemuka, terutama selepas semua rakyat telah divaksin dan keadaan pandemik reda,” katanya.

Menurut Ismail, pelbagai penambahbaikan dalam aspek penyusunan dan pengaturan pertandingan akan dilakukan untuk penganjuran seterusnya.

“Kita akan lebih bersedia sekiranya pertandingan tersebut terpaksa dilakukan secara maya.

“Terdapat beberapa masalah yang timbul seperti audio peserta kurang jelas memandangkan ia mungkin dirakam dalam bilik atau persekitaran tidak sesuai. Jadi, perkara seumpama ini diharap dapat diperbaiki bagi masa akan datang,” katanya.

Pertandingan peringkat akhir PPRN mempertaruhkan 15 peserta daripada lima kategori iaitu Awam, Bukan Melayu, Institut Pengajian Tinggi, Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah mempersembahkan kehebatan masing-masing bagi merebut hadiah wang tunai berjumlah RM300 hingga RM5,000.

Antara juri pertandingan akhir yang bertanggungjawab adalah Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr Abdul Latif Abu Bakar, Profesor Emiretus Datuk Dr Teo Kok Seong, Prof Dr Sivamurugan Pandian, Prof Datuk Dr Mizan Hitam dan Dr Rajeswari.

-MF-

Amalina MF

Amalina MF

Artikel Berkaitan

MUZIUM MENARIK DI MELAKA

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *