SENTUH JIWA JURI ABD MALIK ANGKAT ISU POLITIK BERHEMAH, POSITIF

Marina Sahabudin

MELAKA – Diangkat sebagai Johan Kategori Awam juga Pemidato Tebaik Pertandingan Pidato Rukun Negara (PPRN) Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang di-Pertua Negeri merupakan satu kenangan manis dan berharga bagi pemuda berasal dari Johor ini.

Berkongsi kisah di sebalik kejayaan beliau, empunya nama Abd Malik Mohamad Shah berkata, selepas dimaklumkan tersenarai menjadi finalis, dia tidak membuang masa mengemaskini maklumat terbaharu lebih-lebih lagi setelah dimaklumkan tarikh pertandingan adalah pada 16 September iaitu hari yang penuh bersejarah.

Ujarnya yang juga seorang guru itu, semua persediaan dilakukan sendiri khususnya teks yang akan dibahaskan.

“Sebagai seorang guru cemerlang Bahasa Melayu dah berkhidmat hampir 29 tahun, saya sedia maklum dan sentiasa merujuk kepada syarat yang memerlukan fokus rukun negara kedua dan ketiga sahaja.

“Ia juga haruslah berkaitan dengan tema ditetapkan khasnya perpaduan bangsa Malaysia,” katanya.

Jelasnya, dalam memastikan teks ditampilkan lebih menarik dan menyentuh jiwa, dia turut memasukkan isu politik tetapi secara berhemah dan positif .

“Saya merujuk sepenuhnya Buku Panduan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional kerana Rukun Negara isu besar , bimbang tersalah maklumat atau fakta.

“Apabila digabungkan dengan Bahasa yang agak puitis, saya rasa ada kekuatan mempengaruhi juri, yang semestinya mereka yang pakar dalam bidang ini.Kebetulan saya guru dan cuti persekolahan , saya manfaatkan 100 peratus untuk persediaan pertandingan,” katanya.

PENGALAMAN BERGUNA

Meskipun pada awalnya Abd Malik dimaklumkan pertandingan bersemuka, namun apabila ia diubah kepada atas talian, dia berusaha memastikan rakaman yang divideokan benar-benar berkesan.

“Saya tidaklah terlalu tertekan kerana memang banyak pertandingan dalam talian saya sertai seperti Pidato Alam Sekitar dan Perpaduan anjuran DBP dan Deklamasi Puisi anjuran GAPENA.

“Bezanya pada saya, saya merakam dengan bantuan anak dan kawan sahaja. Apabila kita bersungguh-sungguh dan menganggap setiap rakaman adalah pertandingan sebenar, semangat tetap berkobar-kobar.

“Saya kena pastikan video jelas khasnya suara dan visual.Kalau kaedah bersemuka sekali sahaja, tapi kalau video dirakam ada masalah, khasnya teknikal boleh dibuat semula, persis macam rakam lagu,” katanya.

Tambahnya, pengalaman merakam video puisi sebelumnya memberikan pengalaman berguna.

“Pada saya, paling penting teks yang dipidatokan mesti berkesan dan disampaikan dengan bersemangat serta memenuhi kriteria pemarkahan.

“Penganjuran Pidato Rukun Negara Kerajaan Negeri Melaka adalah terbaik , urus setia melayan dengan baik dan boleh pula disaksikan secara langsung menerusi fb Kerajaan Negeri Melaka, di samping hadiahnya paling lumayan dalam sejarah. Kesemuanya membakar semangat kami,” katanya lagi.

PEMENANG ANUGERAH PIDATO VIRAL

Mengenai Abd Malik, beliau pernah terlibat dengan arena pengucapan awam sejak 1995 khasnya dalam Pidato kenegaraan anjuran pejabat penerangan .

Pada tahun 2019, dia merupakan pemenang Anugerah Pidato Paling Viral Di Malaysia ,dalam Pertandingan Pidato kenegaraan Peringkat Kebangsaan di Kedah anjuran JAPEN.

Baginya, pengalaman mungkin satu kelebihan untuk berpidato dengan baik.

-MF-

Amalina MF

Amalina MF

Artikel Berkaitan

MUZIUM MENARIK DI MELAKA

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *