MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
TANGGA BATU – Selepas memberikan tumpuan kerja proses sanitasi dan nyahkuman secara percuma kepada surau, masjid dan kawasan taman perumahan, kini Skuad Sabil Parlimen Tangga Batu mula melaksanakan tugas percuma itu di sekolah rendah dan menengah dalam kawasan parlimen tersebut.
Menurut Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin, sebagai permulaan, pihaknya telah melaksanakan kerja sanitasi di Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Rumput secara percuma dan ia merupakan sebahagian usaha membantu melengkapkan persediaan persekolahan sesi baharu tidak lama lagi.
Katanya, skuad itu akan melakukan proses kerja sanitasi dan nyahkuman berdasarkan kepada permintaan beberapa sekolah dalam Parlimen Tangga Batu yang melibatkan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Klebang, Paya Rumput, Sungai Udang dan Pantai Kundor.
“Tujuan utama program ini dilaksanakan adalah untuk memastikan kawasan persekitaran dalam dan luar sekolah bebas virus Covid-19 sebelum selamat digunakan oleh pihak sekolah terutama murid apabila sesi persekolahan bermula nanti.
“Sehingga kini, kita sudah membelanjakan lebih kurang RM60,000 bagi pembelian mesin dan kerja-kerja sanitasi ini sejak bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama sekitar tahun lalu,” katanya.
Rais berkata, perkhidmatan sanitasi percuma mula ditawarkan oleh skuad yang dianggotai 16 orang yang dibahagikan kepada dua kumpulan sejak PKP 1.0 dan tumpuan kepada lokasi padat dengan penduduk.
“Skuad ini juga telah menjalankan sanitasi awam di masjid, surau dan lebih 28 buah taman perumahan dalam kawasan Parlimen Tangga Batu yang mencatatkan kes hot spot bagi kes COVID-19 turut mendapat perkhidmatan ini,”katanya.
“Di peringkat awal, skuad ini lebih tertumpu di masjid dan surau, namun mula mendapat perhatian dan permintaan daripada pihak pengurusan taman perumahan yang berminat bagi mendapatkan khidmat skuad ini.
“Pihak kami menggunakan dua kaedah sanitasi iaitu secara semburan asap dan cecair mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan dan semua petugas sentiasa diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan sepanjang proses sanitasi ini dijalankan.
“Ini termasuklah memaklumkan kepada penduduk taman agar turut bekerjasama dengan petugas skuad agar menutup pintu dan tingkap rumah mereka ketika kerja-kerja sanitasi dilakukan pada bahagian luar rumah masing-masing,” katanya.