MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
AYER KEROH – Bermula 1 Oktober ini, solat Jumaat di semua masjid kerajaan, masjid kariah atau institusi dan surau Jumaat dibenarkan mengikut kapasiti penuh dengan mematuhi Prosedur Pperasi Standard (SOP) ditetapkan.
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkata, Solat Jumaat dalam bangunan masjid yang jemaah biasa bersolat dibenarkan berdasarkan kapasiti masjid dengan penjarakan fizikal 1.5 meter manakala pembinaan khemah tambahan adalah dilarang.
Menurutnya, ketetapan baharu itu adalah berikutan Melaka telah memasuki fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) 4 September lalu.
“Bagi solat fardu dan solat jenazah pula, syarat sama terpakai, namun hanya dibenarkan maksimum 500 jemaah bagi masjid kerajaan manakala bagi masjid kariah dan institusi pula jumlah maksimum dibenarkan hanya 200 orang selain surau Jumaat maksimum 100 orang”katanya.
Che Sukri berkata, aktiviti di masjid dan surau yang masih ditangguhkan adalah penganjuran majlis yang melibatkan perhimpunan ramai, jamuan, kecuali agihan makanan berbungkus dibenarkan.
Katanya, turut dibenarkan aktiviti gotong-royong dan aktiviti jemaah tabligh selain warganegara asing untuk menghadiri aktiviti pengimarahan namun perlulah lengkap vaksin.