Piala Malaysia: Melaka United Cemerlang di Darul Aman

MUHAMMAD ZAIDEE DAUT

KELAB Bolasepak Melaka United (Melaka United FC) meneruskan aksi meyakinkan dalam saingan Piala Malaysia 2021 selepas berjaya menundukkan naib juara Liga Super, Kedah Darul Aman FC 3-1 dalam aksi kedua kumpulan C di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Namun begitu, Melaka United terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan awal pasukan tuan rumah pada minit ke-7 menerusi jaringan Kpah Sherman yang merembat deras menewaskan penjaga gol Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat selepas menerima hantaran lintang Tchetche Kipre.

Ketinggalan gol awal daripada pasukan tuan rumah, skuad kendalian Zainal Abidin Hasan terus memperkemaskan permainan dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-23 menerusi Sony Norde selepas menerima hantaran daripada Adriano Narcizo.

Melaka United mula mendahului pasukan tuan rumah menerusi gol kedua yang dijaringkan pemain kebangsaan Filipina, Manuel Ott yang tidak mensia-siakan bola hantaran Adriano dalam kotak penalti sebelum melakukan rembatan leret ke penjuru kiri pintu gol menewaskan Ifwat pada minit ke-38 dan kedudukan itu kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Pada separuh masa kedua, Melaka United terus mengukuhkan kedudukan 3-1 apabila Ott sekali lagi menewaskan Ifwat apabila rembatan deras dari luar kotak penalti berjaya menerjah jaring pada minit ke-52.

Selepas ketinggalan dua gol,Kedah yang juga naib juara Liga Super terus menggandakan usaha dengan melakukan serangan bertali arus ke kubu pasukan Melaka United.

Namun, corak permainan tersusun dan keampuhan benteng pertahanan Melaka United menggagalkan usaha itu sekali gus memastikan keputusan 3-1 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil perlawanan, Mohd Fairuzi Mat Desa.

Kemenangan kedua berturut-turut itu meletakkan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan kini selesa selaku pendahulu kumpulan C dengan mengutip enam mata.

Selepas ini, Melaka United dijadual berdepan Kelantan United FC di Stadium Hang Jebat pada 29 Oktober depan.

Gambar: Facebook Melaka United FC

Amalina MF

Amalina MF

Artikel Berkaitan

MUZIUM MENARIK DI MELAKA

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *