Muhammad Zaidee Daut
Banda Hilir – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) telah membuka semula Muzium Sejarah & Etnografi, Banda Hilir kepada pelawat mulai 1 Oktober lalu dengan standard operasi prosedur (SOP) yang ketat.
Pembukaan semula muzium itu telah memberi peluang kepada orang ramai terutama pelancong tempatan mengadakan lawatan ke muzium berkenaan dan melawat beberapa lokasi pelancongan di kawasan berkenaan termasuk Menara Taming Sari.
Tinjauan Melaka First di muzium berkenaan baru-baru ini mendapati jumlah pelawat tempatan masih berada dalam keadaan terkawal berikutan Kerajaan Melaka masih tidak membenarkan kedatangan pelancong luar biarpun telah beralih kepada Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 1 Oktober lalu.
Pembukaan semula Muzium Sejarah & Etnografi itu sekaligus menyemarakkan lagi usaha Kerajaan Negeri Melaka melalui Tourism Melaka mengaktifkan semula sektor pelancongan Negeri menerusi Kempen Promosi “MELAKAN VISIT MELAKA PACKAGES 2020” sebagai usaha untuk menggalakkan orang Melaka melancong di dalam Negeri Melaka.
Muzium ini dibuka pada setiap hari Selasa hingga Ahad dari jam 9 pagi hingga 5.30 petang dan ditutup pada setiap hari Isnin.
Kelihatan seorang kakitangan PERZIM (kiri) memberikan penerangan kepada pelancong tempatan yang mengadakan lawatan ke Muzium Sejarah & Etnografi, Banda Hilir.