KECACATAN BUKAN PENGHALANG UNTUK MENYINAR DAN MENABUR JASA BAKTI KEPADA NEGARA

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Norazlinda Hj Mohammad
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
UiTM Cawangan Lendu Melaka

Di alam semesta ini, terdapat keajaiban ciptaan tuhan di mana ada orang normal dan orang kurang upaya (OKU) hidup di muka bumi. Namun begitu, semua manusia adalah sama, tidak ada yang sempurna. Oleh yang demikian, golongan OKU tidak boleh dipinggirkan, diasingkan atau diabaikan dan dilabel sebagai kumpulan kelas kedua kerana penampilan mereka yang berbeza dari segi fizikal atau mental. Secara amnya; kecacatan boleh didefinisikan sebagai keadaan atau fungsi yang dianggap ketara atau dilabelkan sebagai terjejas berbeza dengan orang biasa yang dilahirkan dalam masyarakat. Oleh itu, mereka diklasifikasikan sebagai kekurangan fungsi badan atau deria seperti gangguan deria, gangguan fizikal, gangguan intelektual, gangguan kognitif, kecacatan mental dan lain-lain. Segelintir OKU menghadapi perasaan rendah diri kerana menghadapi stigma sosial kerana diejek, diusik, diusir oleh masyarakat yang memandang rendah pada mereka, lantas merajuk dan mengasingkan diri.

Ini merupakan fakta yang memilukan dan menyedihkan apabila melihat sebilangan orang istimewa ini ditertawakan dengan mengemukakan komen-komen negatif serta menerima penghinaan oleh sebilangan masyarakat yang tidak bertanggungjawab. Terdapat sebahagian OKU yang putus asa, kehidupan mereka terasing akibat disingkirkan oleh masyarakat. Senario yang tidak sihat ini harus dihentikan dan rakyat Malaysia perlu membuka mata dan minda dengan menerima kehadiran OKU dan percaya kahadiran mereka mampu menyinar kerana mereka mempunyai hati emas, bersemangat yang kuat, berani dan berjiwa kental Mereka juga gagah berjuang dengan menyahut apa sahaja cabaran dan mengharungi rintangan di dalam meniti ranjau kehidupan demi membuktikan yang mereka setaraf dengan orang normal serta bersedia untuk menyumbang kepada kemajuan, kejayaan yang ternilai demi negara tercinta.

Kecacatan atau kekurangan dalam tubuh seseorang bukanlah alasan dan penghalang untuk hidup dengan bangga dan gembira, memiliki kerjaya yang cemerlang serta maju seperti manusia normal yang lain. Sehubungan itu, kita sebagai manusia normal mesti sentiasa menghormati dan belajar untuk bersyukur dengan apa yang kita ada dengan mengamalkan nilai-nilai positif, minda optimis, beradab serta hormat menghormati pada orang kurang upaya.

Pada masa kini, sejarah sudah membuktikan kerana kita dapat melihat banyak golongan orang kurang upaya ini mempunyai bakat terpendam dan luar biasa yang tidak hanya berjaya mengukir kejayaan dengan memeperoleh hasil kemenangan tetapi juga menyumbang kepada masyarakat, ilmu pengetahuan, penemuan kajian, teknologi dan ekonomi global. Seperti kata pepatah, “kalau tidak dipecahkan ruyung; manakan dapat sagunya” itulah resam hidup. OKU bukan penghalang untuk berjaya malah terbukti bahawa orang istimewa dan unik ini mampu meraih kejayaan, menyumbang kecemerlangan dan mencipta keajaiban di pesada dunia

Belajar hidup dengan kekurangan, ketahui kemampuan anda dan sedia untuk Usaha dan mengecapi Kejayaan
Mereka adalah orang cekal semangat, berdikari, berjuang untuk memperbaiki diri, bertarung dengan darah dan air mata demi mengharugi ujian dan cabaran menjadi cemerlang setanding dengan orang normal. Ada sebahagian besar dari masyarakat kita dilahirkan dengan kekurangan walaupun mereka tidak sempurna namun demikian, mereka masih menjadi tokoh terkenal, berjaya memberi inspirasi, cemerlang dan menjadi model, ikon atau contoh ikutan di seluruh dunia seperti saintis genius, ahli fizik, penyelidik dan ilmuwan Stephen Hawking dengan kecerdasan, kegigihannya dalam menerokai penyelidikan dan penemuan sains, Ralph Braun pengasas Syarikat Braun dengan visi cemerlang mampu menghasilkan kenderaan yang boleh diakses dengan kerusi roda memberikan kebebasan, mobiliti dan akses kepada perubahan khususnya untuk golongan OKU. Tidak dilupakan keunggulan bakat penulis legenda yang mempunyai masalah deria penglihatan, pemuzik dan pencipta lagu Stevie Wonder dengan sumbangannya dalam hiburan antarabangsa, Nick Vujicic seorang motivator selebriti yang aktif menulis, aktivis, pengasas kepada Life without Limbs bertanggungjawab mengendalikan organisasi yang menyokong OKU. Aaron Fotheringham pula seorang pemain skating golongan istimewa yang sangat berbakat, unik, mengagumkan dan mengkhususkan kemampuan bakatnya pada sukan aksi luncur Kerusi Roda. Tanni Gray Thompson bukan calang-calang olahragawati Olimpik malah berjaya memenangi kejuaraannya yang besar dalam liga sukan.

Tidak perlu dipertikaikan lagi kejayaan beberapa golongan istimewa ini berkembang dengan baik dalam arena politik, ekonomi, peguamcara dan penganalisis. Sesuatu yang dapat kita lihat dengan pencapaian yang berwarna-warni ini menjelaskan bahawa sesiapa sahaja yang normal atau OKU dapat melakukan apa sahaja malah membawa pengaruh yang baik, mencetus motivasi, inspirasi, perasaan emosi dengan berusaha mencapai matmat kecemerlangan dan kejayaan. Pepatah ada mengatakan, “If You Fail to Plan, You will Plan to Fail.” Sesungguhnya, kunci kejayaan manusia ialah bertindak bijak merencana, berani meneroka, mencabar diri dengan menceburi bidang yang diminati, mengetahui potensi diri masing-masing, sayangi apa yang anda lakukan serta belajar menguasai kemahiran dan kemampuan sehingga berjaya. Nikmati kehidupan dengan mewujudkan transformasi diri daripada orang biasa kepada luar biasa dan tersohor. Di dunia ini tiada apa yang mustahil untuk dicapai dan dikecapi. Paling utama ialah berusaha, doa, ikhtiar, jati diri yang teguh dan tawakal kepada-Nya

Hak yang sama rata dalam memberi pendidikan, sokongan sosial, pekerjaan dan kemudahan yang sewajarnya
Hebatnya, orang-orang OKU ini membuktikan bahawa di sebalik kecacatan mahupun masalah kesihatan; mereka tidak ada jalan keluar sebaliknya tetap berjiwa besar seiring bergerak maju dengan menanamkan kepercayaan diri melalui pengorbanan dan jati diri yang unggul bagi mencapai cita-cita yang di impikan. Justeru itu, masyarakat perlu menghindari pemikiran jumud dan berprasangka tetapi memberi peluang, layanan yang sama dan sokongan yang lebih baik di dalam menerokai bidang pendidikan, menyediakan kemudahan yang terbaik, penjagaan kesihatan dan pekerjaan khususnya untuk golongan OKU. Hakikatnya sebarang tingkah laku buruk, prasangka, cemuhan yang negatif harus dihentikan kerana mereka adalah manusia yang mempunyai jiwa, perasaan dan harga diri untuk dihormati. Rakyat Malaysia harus mempunyai pertimbangan moral, mempraktikkan kebajikan dengan menolong golongan istimewa ini bagi melahirkan semangat kasih, kekitaan dan budaya hormat menghormati antara satu sama lain.

Tambahan lagi, orang normal harus membuka minda mereka dengan memberi penghormatan, penghargaan, sokongan integratif sosial dan peluang untuk mereka bekerja dan sama-sama memberi khidmat, jasa, bakti di dalam sektor pekerjaan dengan mempercayai kemampuan mereka bahawa mereka juga dapat menyumbang dan membangunkan kemajuan negara di dalam pelbagai landskap seperti politik, akademik, sosial, teknologi, ekonomi dan sukan.

Memupuk kesedaran Sivik, toleransi dan penerimaan golongan OKU dalam masyarakat
Hari Orang Cacat Antarabangsa (IDDP) diperingati di negara-negara di seluruh dunia pada 3 Disember pada setiap tahun. Ini pertama kali dianjurkan pada tahun 1992, IDDP diisytiharkan melalui Resolusi 47/3 Majlis Umum PBB. Pada mulanya, IDDP bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, toleransi, mempromosikan pemahaman yang lebih baik, hak sosial dan penerimaan orang kurang upaya. Di samping itu, acara penting ini bertujuan untuk memberikan penghargaan, pengiktirafan yang besar dengan meraikan pencapaian dan sumbangan mereka di dalam pelbagai pembangunan manusia . Apa yang penting, gerakan berterusan dan harapan yang luar biasa ini merupakan inisiatif yang besar serta melibatkan orang yang normal. Malah ia bukan sahaja dapat memupuk masyarakat yang sihat tetapi juga membentuk institusi sosial, budaya, dan persekitaran yang mendamaikan. Ketahuilah bahawa golongan OKU dilihat mampu memberi sumbangan besar kepada masyarakat dan menjadi orang yang disegani

Golongan OKU Malaysia mampu mencipta kejayaan yang luar biasa di persada dunia
Lihat rakyat Malaysia, belum terlambat untuk kita mengucapkan tahniah kepada atlet Paralimpik kita kerana membuat rakyat Malaysia bangga dengan memberikan persembahan yang terbaik di acara Tokyo Paralimpik 2020, walaupun berada di tengah-tengah situasi wabak Covid. Tidak dinafikan keupayaan mereka menggegar dan menunjukkan pada seantero dunia bahawa ketidakmampuan, kesukaran bukan alasan atau penghalang untuk sama-sama berusaha mencapai kejayaan dan kecemerlangan.

Sikap optimistik, keyakinan, positif dan sentiasa bersemangat dicurahkan sepenuh jiwa oleh atlet sukan Paralimpik iaitu Abdul Latif Romly, Bonnie Bunyau Gustin, Jong Yee Khie, Chew Wei Lun, Cheah Liek Hou dan lain-lain. Mereka umpama permata yang menyinar dan pahlawan negara yang bersifat patriotik dan harus diberi penghormatan besar kerana berjuang dalam Paralimpik 2020 untuk negara tercinta. Sejajar dengan petikan yang terkenal oleh almarhum Presiden John F. Kennedy, “Jangan tanya apa yang dapat dilakukan oleh negara kamu untuk anda tetapi tanyakan apa yang kamu dapat lakukan untuk negara.”

Masyarakat perlu berubah dengan menerima dan menghargai kehadiran golongan OKU
Wahai rakyat Malaysia belajarla muhasabah diri, bersikap timbang rasa menerima dan menghargai golongan OKU di kalangan anda. Masyarakat harus mempunyai sifat keprihatinan, ikhlas menunjukkan kasih sayang, memberi sokongan holistik dan menanam nilai-nilai murni kerana hidup dengan orang istimewa ini tidak menjadikan perbezaan atau kekurangan buat diri individu. Oleh itu, kita harus mengamalkan sikap empati, bertolak ansur, toleransi dengan memberi layanan yang sama rata serta menghulurkan bantuan dan bukannya menjauhkan diri, mewujudkan jurang pemisah dengan mengecualikan mereka di dalam kelompok masyarakat.

Rakyat Malaysia lakukanlah peranan anda dan semaikan sifat kasih sayang dengan menerima memberi dorongan dan sokongan padu kepada golongan istimewa ini. Kita perlu menanam nilai-nilai kemanusiaan bagi membendung diskriminasi, salah faham dan membasmi stigma sosial terhadap orang kurang upaya. Persepsi minda harus berubah dengan pemikiran positif. Justeru itu, “perubahan bermula dengan anda,” sebagai individu, keluarga, masyarakat dan masyarakat. Ingatlah belajar hidup dengan penuh rasa hormat kerana rakyat Malaysia yang benar-benar waras dibangun dengan suasana yang baik, rendah hati,beradab dan beretika.

Amalina MF

Amalina MF

Artikel Berkaitan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

DAKI 14 PUNCAK DUNIA DUA KALI

Fara Ismail Menurut REUTERS – Sanu Sherpa 47, telah mencipta rekod pendakian dengan mendaki 14 puncak dunia yang berketinggian melebihi 8,000 meter

HUKUMAN MATI EMPAT AKTIVIS

FARAH ISMAIL MYANMAR – Menurut Reuters, pihak berkuasa tentera Myanmar telah menghukum mati empat aktivis demokrasi yang dituduh membantu menjalankan “tindakan keganasan”, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *