MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
BANDARAYA MELAKA – Dalam usaha menjaga kebersihan dan kesihatan golongan bukan perokok, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah menyediakan enam lokasi Zon Merokok di sekitar kawasan pelancongan dan tumpuan umum.
Kawasan Zon Merokok yang dibina dengan anggaran kos bernilai RM57,000 itu membabitkan kawasan di Taman Bandaraya Bukit Serindit, Dataran Stadhuys, Taman Bunga Merdeka, Medan Samudera, Jalan Hang Tuah dan Medan Selera Jalan Tun Ali.
MBMB dalam satu siaran di Facebook rasminya menyatakan dengan adanya ‘Zon Merokok’ di tempat awam itu, ia secara tidak langsung dapat membantu menjaga kesihatan golongan bukan perokok bahkan stesen zon merokok merupakan pendekatan yang lebih baik bagi memberitahu kepada orang awam perokok hanya dibenarkan merokok di stesen zon merokok sahaja.
Selain aspek kesihatan, pembinaan Zon Merokok itu juga akan dapat mengekang tindakan pembuangan puntung rokok merata-rata oleh perokok dan MBMB akan sentiasa memantapkan penguatkuasaan untuk memastikan perokok mematuhi peraturan ditetapkan.
MBMB juga berharap dengan adanya usaha-usaha yang sedang dan akan berjalan ini, ia dapat membantu Kerajaan Negeri merancakkan dan mengaktifkan semula sektor ekonomi warga bandaraya keseluruhannya serta memastikan kawasan pelancongan yang selamat dan stabil selepas pelaksanaan tempoh kawalan pergerakan yang telah menjejaskan punca pendapatan rakyat.