MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
MASJID TANAH – “Tak payah dipecat, tapi kita tulis surat mengatakan bahawa keahliannya terlucut dengan sendiri mengikut peraturan-peraturan dalam perlembagaan kita,”
Demikian kenyataan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan ketika diminta mengulas mengenai kedudukan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu iaitu Datuk Seri Utama Idris Haron (Sungai Udang) dan Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor).
Kelmarin, Idris dan Nor Azman bersama Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan kerajaan negeri.
Menurut Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO, UMNO sudah mengeluarkan surat pelucutan keahlian terhadap Idris dan Nor Azman kerana didapati melanggar perlembagaan sehingga mereka hilang keahlian secara automatik.
“Saya telah mengarahkan Setiausaha Agung Datuk Seri Ahmad Maslan menulis surat berkenaan kepada dua ADUN terbabit.
“Dalam pindaan Perlembagaan UMNO yang telah kita luluskan awal tahun ini, telah kita buat, siapa-siapa yang berada di pentas atau mewakili parti-parti mana atau bertentangan dengan parti, maka dia terlucut keahlian dengan sendiri,”katanya.
Sementara itu, Ahmad berkata, keahlian UMNO Idris Nor Azman Hassan tergugur secara automatik di bawah Fasal 20.11 dan Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.
Menurutnya, surat pelucutan keahlian yang bertarikh 5 Oktober itu akan diserahkan kepada kedua-dua wakil rakyat terbabit dalam tempoh terdekat.
“Fasal 20.11 seseorang ahli yang menang bertanding, tetapi meninggalkan parti atau bertanding sebagai claon bebas DUN atau Dewan Rakyat akan gugur keahlian dengan sendirinya.
“Jadi, kedua-dua fasal ini dibaca bersama, maka Datuk Nor Azman dan Datuk Seri Idris Haron tergugur dengan sendirinya sebagai ahli UMNO bermula pada semalam (kelmarin),” katanya.