MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
MASJID TANAH – UMNO masih belum memutuskan sama ada akan bertanding secara bersendirian atau bekerjasama dengan parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, sebarang rundingan kerusi hanya boleh dicadangkan oleh Badan Perhubungan UMNO negeri, namun kelulusan tertakluk kepada keputusan kepimpinan Pusat.
“Paling penting kini adalah parti perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan kerana PRN bakal diadakan pada bila-bila masa dalam tempoh 60 hari bermula hari ini (semalam),”katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Biro Politik Enam Bahagian Negeri di sini, malam tadi.
Hadir sama Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Beliau mengulas mengenai tawaran Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka,
Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen dalam sidang media khas yang menawarkan rundingan dengan UMNO bagi menghadapi PRN dengan bersikap terbuka untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru.
Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO turut meminta semua jentera parti bersiap sedia bermula sekarang dan mengingatkan UMNO tidak mengharapkan kekuatan dari luar, iaitu parti-parti lain untuk menghadapi PRN Melaka.
“Untuk menang pilihan raya, UMNO haruslah mencari kekuatan sendiri bermula dari sekarang dan kita mesti bersiap sedia menyiapkan parti kerana kemungkinannya macam-macam.
“Jangan kita harap kekuatan dari luar untuk membantu kita menang, kita mesti bina kekuatan sendiri,” katanya.
Bagi memastikan kesemua jentera UMNO dan Barisan Nasional bersiap siaga untuk menghadapi segala kemungkinan, Mohamad memaklumkan beliau sendiri akan kerap mengunjungi negeri ini.
“Saya akan sentiasa datang ke Melaka sehinggalah hari penamaan calon nanti dan kita akan berkempen selama beberapa hari seperti yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya.