Nazirah Hassan
KELEMAK – Hanya di D’Rimba Café sahaja anda boleh nikmati Kuey Teow Lanun yang dihidangkan istimewa bersama gearbox kambing. Menu yang telah menjadi ‘trademark’ bagi restoran ini telah diilhamkan oleh Shahrul Azman atau mesra disapa sebagai Chef Papa Rock.
Beliau memang cukup mahir dalam penyediaan hidangan aneka sup sehingga terinspirasinya idea bagi mencipta menu ini. Rugi jika tidak mencuba rangkaian menu sup istimewa dari di D’Rimba Café seperti sup gearbox, kuey teow sup dan sup daging.
Selain Kuey Teow Lanun yang menjadi tarikan utama, restoran ini turut menyajikan menu lain yang cukup unik seperti Nasi Dulang Ganja dan Nasi Goreng Seafood Popia.
D’Rimba Café merupakan satu-satunya restoran yang menyajikan Nasi Ganja beralas dulang. Menu ini disediakan menggunakan resepi khas dari utara. Apa yang membezakan nasi ganja ini dengan yang lain ialah nasinya yang berwarna jingga dengan aroma rempah ratus yang membangkitkan selera. Memang cukup enak dimakan bersama ayam goreng dan empat jenis kuah berbagai variasi.
Bagi yang lebih menggemari nasi putih, anda bolehlah cuba Nasi Dulang Daun Pisang. Menu ini dihidangkan bersama ayam goreng, kari ayam, kari daging, sambal hitam dan sambal hijau.
Pelanggan yang pertama kali ke D’Rimba Café pasti terpukau dengan hidangan Nasi Goreng Seafood Popia yang merupakan idea asal daripada pemilik restoran , Rositha Ali atau mesra disapa Che Ta. Menu ini cukup unik dan sangat jarang dijumpai di restoran lain. Nasi Goreng Popia disediakan dengan nasi goreng udang segar yang dihidangkan di atas kulit popia goreng rangup berbentuk pinggan. Ia pastinya menjadi pengalaman menarik buat pelanggan yang suka mencuba makanan baru.
Ilham Che Ta mencipta menu Nasi Goreng Popia ini mula timbul apabila ingin mencipta menu yang boleh menggabungkan nasi goreng dengan keropok. Bermula dari situ, beliau pun mendapat idea untuk menggunakan popia berbentuk pinggan sebagai pengganti kepada keropok yang sekaligus menjadi elemen tarikan kepada menu ini.
Bagi yang ingin mencuba menu yang cukup unik dan menyelerakan, apa kata anda singgah ke D’Rimba Café yang terletak di Jalan Air Lanjut, Kelemak, Alor Gajah. Orang ramai dijemput ke restoran D’Rimba pada waktu operasinya antara jam 11.00 pagi hingga 11.00 malam.