MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
AYER KEROH – Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2021 Peringkat Negeri Melaka yang akan diadakan pada 9 Oktober di Kompleks JAPERUN Serkam akan dilaksanakan secara fizikal melibatkan penyertaan daripada peserta yang telah melengkapkan dos vaksin Covid-19 dan memperoleh e- sijil vaksinasi.
Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Melaka dalam satu kenyataannya menjelaskan, program yang menyasarkan 25,000 penyertaan dalam kalangan belia di seluruh negeri ini akan dijayakan secara sederhana tanpa melibatkan penyertaan dan perhimpunan ramai mengikut kapasiti lokasi yang dipilih bagi pelaksanaan secara fizikal.
Menurutnya, program itu adalah anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka dan Persatuan Sukan Elektronik Negeri Melaka.
“Pelaksanaan program akan disesuaikan mengikut arahan dan Standard Operation Procedure (SOP) bagi Sektor Sukan dan Rekreasi yang dikeluarkan oleh MKN manakala program secara dalam talian dan fizikal diubah suai mengikut garis panduan semasa Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Pengisian aktiviti sepanjang sambutan HSN2021 adalah semua jenis sukan, rekreasi dan kecergasan yang melibatkan pergerakan fizikal secara individu yang tidak bersentuhan sama ada berbentuk pertandingan, pertunjukan dan riadah.
“Pelbagai aktiviti lain yang berkaitan dengan sukan yang mampu menjana pendapatan seperti jualan barangan sukan dan produk kesihatan secara atas talian serta aktiviti dan program ilmiah sukan untuk memberi pengetahuan kepada masyarakat seperti forum, bengkel, webinar dan seminar yang berkaitan pembangunan industri dan perkembangan sukan akan diadakan,”katanya.
Antara pengisian program yang akan diadakan ialah Bual Bicara Virtual KBS, Keluarga Malaysia: Fit and Active Family HSN2021(Senamrobic Virtual), Pertandingan Sukan Elektronik (E-sports), aktiviti sukan konvensional/tradisional/ rekreasi/ OKU dan Kempen/Pertandingan #towardssportingnation dan #HSN2021.
JBS Melaka berharap penganjuran HSN2021 dapat memberi kesedaran kepada rakyat tentang pentingnya penglibatab dalam aktiviti sukan sekaligus menjadikan Malaysia sebuah Negara ‘Sporting Nation.
Untuk keseluruhan sambutan HSN2021 Melaka juga akan diadakan di seluruh daerah iaitu Melaka Tengah di Melaka Mall, Ayer Keroh pada 10 Oktober jam 8.30 pagi, daerah Alor Gajah di Dataran Keris dan daerah Jasin di Pantai Siring, Umbai.