Peniaga, pengunjung pasar patuh SOP

MUHAMMAD ZAIDEE DAUT

MELAKA – Operasi di semua 11 pasar awam termasuk pasar transit kendalian Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) berjalan lancar dengan peniaga dan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan Covid-19.

Pemerhatian Melaka First di Pasar Besar MBMB, Bachang mendapati aktiviti perniagaan lancar dengan pengawasan oleh pihak MBMB tanpa berlaku kesesakan serius pada ruang membeli namun penjarakan sosial dalam kalangan pengunjung perlu ditambah baik.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata, setakat ini pihaknya berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP yang ditunjukkan oleh peniaga dan pengunjung pasar.

Menurutnya, peniaga dan pengunjung tiada masalah untuk mematuhi SOP yang ditetapkan terutama dari aspek pemakaian pelitup muka.

“SOP itu tidak mendatangkan masalah kepada komuniti peniaga pasar kerana ia dilihat dari sudut positif untuk mengelak penularan pandemik.

“Petugas MBMB yang ditempatkan akan memastikan pengunjung menjaga jarak sosial masing-masing ketika membeli barang keperluan,” katanya.

Pasar Besar MBMB Bachang sebelum ini pernah ditutup beberapa kali susulan kes Covid-19 hingga mewujudkan kluster Tun Fatimah. Kali terakhir premis tersebut ditutup pada Jun lalu.

Menurut Zainal, pihaknya mendapati peniaga dan pengunjung masih mematuhi SOP dan berharap semua pihak lebih berwaspada agar jangkitan Covid-19 tidak kembali menular di pasar tersebut.

Ujar beliau, pihaknya hanya boleh menegur dan menasihat mana-mana peniaga atau pengunjung untuk mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Selain memastikan pemakaian pelitup muka, peniaga dan pengunjung akan diambil suhu dan melakukan imbasan Mysejahtera sebelum dibenarkan masuk ke dalam pasar.

“Kita tidak mengeluarkan kompaun kepada pengunjung mahupun peniaga pasar sebaliknya menegur dan menasihatkan mereka agar tidak melanggar SOP ditetapkan,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau meminta kerjasama peniaga dan pengunjung supaya memastikan mereka tidak mempunyai sebarang simptom COVID-19 sebelum mengunjungi pasar awam bagi mengelak penularan virus tersebut.

Katanya, MBMB akan terus menjalankan operasi pemantauan, bukan sahaja di pasar awam malah akan diperluaskan di premis perniagaan lain bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP berkenaan.

Amalina MF

Amalina MF

Artikel Berkaitan

MUZIUM MENARIK DI MELAKA

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *