MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
KUALA LUMPUR: Bermula esok, kerajaan bersetuju memberi kebenaran untuk Keluarga Malaysia yang sudah menerima vaksinasi lengkap melakukan pergerakan rentas negeri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pergerakan itu boleh dilakukan tanpa memerlukan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Rentas negeri dibenarkan bermula esok. Pergerakan termasuk pulang ke kampung. Saya percaya ramai tertunggu pengumuman ini,” katanya dalam sidang media khas hari ini.
“Alhamdulillah, menurut Kementerian Kesihatan (KKM) kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus.
“Bagaimanapun, data terkini akan dikemaskini di laman sesawang COVIDNOW pada tengah malam ini,” katanya.
Perdana Menteri berkata dengan keputusan itu, Keluarga Malaysia bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong dan sebagainya
Beliau berkata, kerajaan tidak mewajibkan individu yang hendak merentas negeri untuk menjalankan ujian saringan COVID-19 sama ada ujian RT-PCR atau RTK-Antigen sebelum memulakan perjalanan.
Namun katanya, kerajaan menggalakkan mereka menjalankan ujian saringan COVID-19 bagi tujuan menjamin keselamatan dengan mengekang penularan pandemik COVID-19.
“Ia digalakkan demi kepentingan keluarga, bila sudah buat pemeriksaan jadi kita sudah tahu keselamatan kita dan tidak perlu runsing dengan jangkitan itu dan ujian ini adalah tindakan untuk melindungi diri, ia terserah kepada setiap individu kerana kita tidak mewajibkannya,” katanya.
Selain itu, beliau menjelaskan, remaja berusia 12 hingga 17 tahun dan kanak-kanak juga dibenarkan untuk menikmati kelonggaran rentas negeri walaupun belum menerima vaksin COVID-19.
Katanya, keputusan itu diambil selepas mengambil kira faktor kanak-kanak masih tidak boleh diberi pelalian berkenaan.
“Selain itu, tiada prosedur operasi standard (SOP) baharu akan dikeluarkan bagi kelonggaran berkenaan bagi negeri yang belum mencapai kadar vaksinasi 80 peratus,”katanya.
Beliau turut mengumumkan bahawa kerajaan turut bersetuju membenarkan rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara tanpa melalui #MyTravelPass Jabatan Imigresen berkuat kuasa pada 11 Oktober 2021.
Bagaimanapun, pengembara masih perlu menjalani kuarantin wajib sebaik pulang ke tanah air.
“Justeru, itu, sesiapa saja warga Malaysia boleh ke luar negara termasuk untuk aktiviti bukan rasmi seperti pelancongan syarat mesti mendapat dua dos vaksin,”katanya.
Beliau turut menasihati agar Keluarga Malaysia tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran perjalanan rentas negeri yang diberikan, sebaliknya sentiasa menjaga diri dengan mengamalkan SOP yang ditetapkan berikutan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih berkuatkuasa.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 7,373 kes baharu Covid-19 hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah jangkitan meningkat kepada 2,339,594 kes.