MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
MELAKA – Kebenaran rentas negeri oleh kerajaan mulai 11 Oktober lalu bukan sahaja memberi rahmat kepada orang ramai untuk pulang ke kampung bertemu ibu bapa dan saudara mara, malah turut berpeluang melancong ke destinasi pelancongan yang terdapat di negara ini.
Di Melaka, misalnya, selain daripada menikmati hidangan makanan dan minuman yang pelbagai rasa, pelancong juga boleh melawat beberapa destinasi pelancongan menarik seperti di kawasan Kompleks Muzium di Banda Hilir serta kawasan sekitarnya.
Bagi mereka yang suka dan gemar melawat tempat-tempat besejarah, peluang melawat ke makam-makam bersejarah sudah pasti tidak akan dilepaskan begitu sahaja.
Difahamkan, terdapat lebih 30 makam bersejarah terdapat di negeri Hang Tuah ini yang telah diwartakan sebagai tapak warisan oleh pihak yang Jabatan Muzium dan ia boleh dilawati dan dikunjungi pelancong.
Antara makam yang boleh dikunjungi ialah Makam Hang Kasturi yang terletak di Jalan Hang Jebat.
Menurut catatan sejarah, Hang Kasturi merupakan salah seorang pahlawan terbilang pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dan beliau adalah salah seorang dari lima sahabat yang masyhur iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir dan Hang Lekiu.
Dari segi binaan, makam ini merupakan makam yang bersaiz sederhana besar terletak di dalam kawasan batu bertembok dikelilingi pagar besi. Bahagian hadapan makam terdapat sebuah pintu gerbang.
Sebahagian tembok kawasan makam berbentuk suku bulatan yang turut bercantum dengan rumah kedai disebelahnya. Makamnya pula dibina berbentuk empat segi bujur bertingkat-tingkat.
Corak batu nisannya berasal dari kurun ke-18. Pada bahagian tembok makam pula turut dibina sebuah lubang berbentuk segi tiga yang dikatakan sebagai tempat meletak lilin atau pelita.
Dikatakan, berdasarkan dari corak binaan sedia ada makam yang telah diwartakan sebagai Zon Penempatan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya 1988 pada 28 Disember 2006 ini telah diperbaiki dari semasa ke semasa.
Pada tahun 2021 Makam Hang Kasturi ini telah dibaikpulih dan dinaiktaraf di bawah Peruntukan Projek di bawah Pemerkasaan Sektor Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan tahun 2021 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.