MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
AYER KEROH – Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Kamel Mohamad berkata, Perlembagaan Negeri Melaka tidak memperuntukkan secara khusus mengenai fungsi dan peranan Kerajaan Caretaker.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam, beliau menjelaskan berdasarkan konvensyen dalam sistem demokrasi berparlimen di negara-negara Komanwel, Kerajaan Caretaker hanya berfungsi untuk mentadbir sesebuah negara/negeri sehingga satu kerajaan baharu dibentuk
Menurutnya, dalam hal ini, Kerajaan Caretaker tidak boleh membuat apa-apa keputusan dan dasar yang boleh mengikat, atau mengambil apa-apa tindakan yang boleh memberi implikasi kewangan dan membebankan Kerajaan baharu yang bakal dibentuk, melainkan tindakan tersebut perlu dilaksanakan demi kepentingan awam (public interest).
“Bagi maksud itu, Kerajaan Caretaker boleh mengambil tindakan-tindakan seperti berikut:
a) menjalankan tugasan rasmi rutin, termasuk menjalankan kuasa yang diberi di bawah undang-undang bagi memastikan jentera Kerajaan Negeri berfungsi;
b) mengadakan mesyuarat rasmi berhubung urusan pentadbiran Kerajaan Negeri;
c) meneruskan pelaksanaan dasar dan program sedia ada yang mana peruntukan kewangan baginya telah disediakan;
d) membuat apa-apa perjanjian, kontrak dan aku janji yang mana dasar telah
diluluskan oleh Kerajaan Negeri atau peruntukan mengenainya telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri seperti Belanjawan tahun semasa; dan
e) mengadakan dan menghadiri majlis-majlis rasmi yang telah dijadualkan bagi
sesuatu projek atau program Kerajaan Negeri.
Kamel berkata, dalam konteks Melaka, berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka, dan berdasarkan konvensyen yang telah diamalkan, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Ketua Menteri Melaka adalah mengetuai Kerajaan Caretaker dan dibantu oleh Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang sedia ada melainkan mereka yang telah meletakkan jawatan.