MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas berkaitan urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15 pada 18 Oktober ini, jam 10 pagi di Melaka.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRN DUN Melaka.
“SPR akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRN DUN Melaka seperti tarikh writ Pilihan Raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.
“Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat tersebut,”katanya.
PRN Melaka diadakan setelah DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu berikutan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) keluar dari parti kerajaan.
Sehari kemudian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan DUN Melaka dibubarkan selepas mendapat keputusan daripada Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.