MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
KUALA LUMPUR – Bermula Isnin ini (18 Oktober), Melaka dan negeri-negeri Lembah Klang iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataannya semalam berkata, negeri Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah pula akan beralih ke Fasa 3 mulai tarikh sama.
Katanya, peralihan fasa itu adalah mengikut garis panduan yang ditetapkan PPN serta peratusan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa dan keputusan tersebut dicapai hasil mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik, semalam
“Dengan peralihan fasa bagi negeri yang dinyatakan, Malaysia secara keseluruhannya kini beralih ke Fasa 3,” katanya.
Ismail Sabri berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri yang memasuki fasa tiga dan empat boleh dilayari di laman sesawang rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan pengurangan tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi pengembara dari luar negara berkuat kuasa 18 Oktober ini melibatkan tempoh kuarantin tujuh hari di rumah jika sesuai atau stesen kuarantin bagi pengembara dengan vaksinasi lengkap.
Katanya, tempoh kuarantin 10 hari di stesen kuarantin bagi pengembara tiada atau tidak lengkap vaksin.
“Tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi kontak rapat juga dikurangkan melibatkan tempoh kuarantin tujuh hari di rumah bagi mereka yang lengkap divaksin dan 10 hari di rumah bagi mereka yang tiada atau tidak lengkap divaksin.
Ismail Sabri turut mrngumumkan pembukaan perkhidmatan pusat siber dan kafe siber dipersetujui dengan penyelarasan 80 peratus kapasiti bagi Fasa Tiga PPN dan 100 peratus kapasiti bagi Fasa Empat PPN berkuat kuasa 17 Oktober.