Muhammad Zaidee Daut
KUALA LUMPUR – Pengoperasian Institusi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengikut ketetapan Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Negeri Melaka akan berkuat kuasa mulai 1 November ini.
Selain Melaka, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya juga akan turut terbabit dalam pengoperasian tersebut.
KPM dalam satu kenyataan media memaklumkan, perubahan ketetapan pengoperasian itu adalah selaras peralihan Fasa 3 kepada Fasa Empat PPN bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor dan Melaka.
“Negeri yang beralih ke Fasa 4 PPN akan membabitkan kemasukan murid Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) sekolah rendah serta murid tingkatan tiga dan empat di sekolah menengah pada 1 November.
“Sementara kehadiran murid Tahap 2 (Tahun 4, 5 dan 6) sekolah rendah serta kelas peralihan, tingkatan satu dan dua sekolah menengah pada 8 November, iaitu seminggu selepas negeri berkenaan memulakan pengoperasian berdasarkan ketetapan Fasa 4 PPN,” menurut kenyataan itu.
KPM turut memaklumkan pengoperasian institusi pendidikan oleh negeri dari Fasa dua ke Fasa Tiga PPN yang membabitkan Kedah dan Kelantan akan memulakan operasi pada 31 Oktober, manakala Pulau Pinang, Perak dan Sabah mulai 1 November.
“Negeri Fasa 3 PPN akan membabitkan kehadiran murid prasekolah, murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional dan Program Pendidikan Khas Integrasi.
“Kehadiran turut membabitkan pelajar tingkatan enam Semester 2, Prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya/sekolah harian/sekolah swasta, International Baccalaureate Diploma serta kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) dan kelas peperiksaan antarabangsa lain.” menurut kenyataan tersebut.
KPM sebelum ini memutuskan, apabila negeri beralih ke fasa PPN yang seterusnya, semua institusi pendidikan di negeri itu hendaklah beroperasi mengikut ketetapan fasa baharu selepas dua minggu daripada tarikh peralihan fasa.