TOURISM MELAKA SAMBUT MERIAH KETIBAAN PELANCONG

Nazirah Hassan

AYER KEROH – Bagi menyambut kelonggaran rentas negeri dan memeriahkan lagi ketibaan pelancong ke negeri bersejarah ini, Tourism Melaka adakan Program Sambutan Ketibaan Pelancong di Tol Masuk Ayer Keroh.
Acara yang diadakan kira-kira 2.30 petang tadi telah diadakan secara tertib dengan pematuhan SOP yang ketat. Program ini turut diadakan serentak di kawasan ketibaan pelancong lain seperti Tol Simpat Ampat dan Melaka Sentral.

Turut hadir dalam program ini ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Dato’ Ts Kamel Mohamad yang turut sama menyambut kedatangan para pelancong ke negeri Melaka. Seramai 1,000 pelancong menerima cenderamata berupa Kit Cegah Covid-19 sebagai simbolik peringatan mesra agar kekal menjaga SOP ketika menikmati percutian di Melaka.

Bagi memeriahkan lagi aktiviti pelancongan, Kerajaan Negeri melalui Badan Promosi Pelancongan (BPP) juga akan menganjurkan Pocket Show iaitu Persembahan Busking untuk menghiburkan para pelancong di tiga lokasi pelancongan terpilih iaitu Taman Rempah, Kampung Morten dan Muara Sungai Melaka.

Tidak cukup dengan itu, kawasan tumpuan pelancongan seperti Kota A’Famosa, Bangunan Stadthuys dan Memorial Pengisytiharaan Kemerdekaan akan dimeriahkan lagi dengan penampilan artis kebudayaan Negeri Melaka daripada Kumpulan Briged Seni Melaka, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka (JKKN), Institut Seni Warisan Melaka (INSWA) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB). Program ini terbuka buat semua pengunjung yang berminat untuk bergambar dan beramah mesra dengan artis kebudayaan yang berpakaian tradisional serba lengkap.

Dalam menggiatkan semula sektor pelancongan di negeri ini, Datuk Muhammad Jailani bin Khamis selaku Exco Pelancongan, Kebudayaan & Warisan Negeri Melaka turut mengingatkan semua tenaga kerja industri pelancongan agar kekal menjaga SOP dan bagi menjamin keselamatan pelancong dan pekerja.
“Setakat hari ini, sebanyak 258 penggiat industri pelancongan dalam negeri telah menerima Sijil Pengesahan atas pencapaian 100% tenaga kerja yang lengkap dengan dua dos vaksin. Selaras dengan kempen Melaka Safe Haven, kerja-kerja sanitasi dan disinfeksi perlulah dilaksanakan setiap hari di premis masing-masing bagi membendung penularan wabak Covid-19. “

Sehingga Jun 2021, Melaka telah menerima 300,000 kunjungan pelancong. Dengan kelonggaran untuk merentas negeri, diharap negeri Melaka dapat mencapai sasaran tahunan dalam penerimaan pelancong sebanyak 1 juta orang menjelang akhir tahun.

Amalina MF

Amalina MF

Artikel Berkaitan

MUZIUM MENARIK DI MELAKA

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *