ALOR GAJAH -Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi vaksinasi remaja telah dimulakan di Melaka sejak penghujung September lalu dengan dikendalikan bersama Jabatan Kesihatan & Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.
Bagi memastikan kejayaan pelaksanaan PICK Remaja Kebangsaan ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga bekerjasama dengan pelbagai pihak terutamanya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi melancarkan proses pemberian vaksin COVID-19 di institusi & populasi di bawah jagaan mereka.
Kejayaan negara dalam memerangi pandemik COVID-19 ini bukan sahaja kepada usaha & strategi kerajaan semata-mata, namun ianya juga memerlukan sokongan serta kerjasama padu daripada seluruh lapisan masyarakat. Walaupun dengan liputan vaksinasi yang menyeluruh kelak, masyarakat perlulah sentiasa mematuhi S.O.P sedia ada yang ditetapkan dan mengamalkan norma-norma baharu agar seluruh sektor dapat dibuka semula dengan selamat.
Sejak kelmarin berlangsung proses pemberian vaksin bagi dos ke-2 melibatkan keseluruhan 943 pelajar dari lima buah sekolah menengah sekitar Alor Gajah, mereka yang terlibat diberi vaksinasi secara berjadual di Pusat Pemberian Vaksin ‘PPV School Outreach Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zain’ melalui Program Mobilasi Vaksin Komuniti, Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan (MOVAK KPKT) untuk remaja 16-17 tahun.
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja mencatatkan kejayaan tersendiri apabila melepasi sasaran awal Kementerian Kesihatan (KKM) dalam tempoh pelaksanaannya dan kejayaan itu sebagai perkembangan sangat memberangsangkan yang dimainkan semua pihak.
Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM) melalui Timbalan Presiden, Azlin Othman turut membuat tinjauan mesra di ‘PPV School Outreach Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zain’ hari ini menyampaikan sumbangan pek Gardenia & mineral.
Azlin yang juga merupakan Duta Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka selain AJK Persatuan Ibu Bapa & Guru Sekolah Menengah Arab (JAIM) Al-Asyraf (SMASRA) di sini turut menyatakan pemberian vaksin pada hari ini turut melibatkan seramai 146 pelajar dari sekolah berkenaan.
PMPM amat menyokong usaha kerajaan ini dan suntikan vaksin kepada golongan remaja adalah bagi menyelamatkan kesihatan mereka dan menyelamatkan golongan remaja ini dari dijangkiti COVID-19 selain turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebar berita tidak benar tentang pengambilan vaksinasi pada remaja termasuk maklumat yang tidak diketahui kesahihannya.