MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
MASJID TANAH – Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan semua jentera parti digerakkan bermula hari ini selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon, pengundian awal dan pengundian umum semalam.
Menurut Ahmad Zahid, UMNO juga menetapkan untuk menempatkan jentera dan petugas parti dari negeri lain di setiap kawasan DUN yang ditandingi UMNO dan BN bagi melancarkan pergerakan kempen dalam kalangan petugas parti di negeri ini.
“Pada kali ini, PRN Melaka tentunya menyaksikan suatu landskap baharu yang dilakarkan berdasarkan kepada situasi politik semasa.
“Bagi saya, semua kawasan DUN di Melaka ini sebagai `panas’ dan kita akan bekerja keras di kawasan berkenaan bagi memastikan kemenangan cemerlang pada PRN nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan jentera parti menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 8 November ini dan pengundian 20 November.
Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama, Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad, Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan, beberapa Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, semua Ketua UMNO Bahagian dan Jawatankuasa keseluruhannya lebih 500 jemputan.
Ahmad Zahid menjelaskan, beliau menganggap semua kawasan perlu menjadi fokus untuk dimenangi pada PRN kali ini dan bukannya tiga kerusi DUN iaitu Sungai Udang, Pantai Kundor dan Pengkalan Batu semata-mata.
Mengenai calon yang akan diketengahkan oleh BN, Ahamd Zahid berkata senarai calon UMNO pada PRN Melaka akan dinilai pada keupayaannya memenangi kerusi ditandingi berdasarkan data kajian parti.
“Kebolehmenangan calon di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dinilai berdasarkan sains dan data melalui perangkaan yang diperolehi berdasarkan keputusan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan PRU-14,”katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan mana-mana pihak termasuk penganalisis politik supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai pendirian parti itu pada pilihan raya kelak.
Menurut Ahmad Zahid, ini berikutan UMNO masih belum memutuskan untuk bekerjasama dengan mana-mana parti komponenya biarpun hari penamaan calon PRN Melaka pada 8 November ini semakin hampir.
“Pendirian UMNO dan BN untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik pada PRN Melaka, 20 November ini akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat,”katanya.
“Maka, jangan ada spekulasi daripada mana-mana penganalisis politik untuk menelah di manakah pendirian UMNO dan BN dalam menghadapi PRN ini.
“Keputusan muktamad kerjasama ini akan diumumkan apabila mesyuarat Biro Politik dan juga Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang akan diikuti mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang akan kita adakan minggu depan atau sebelum hari penamaan calon nanti,” katanya.