MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
AYER KEROH – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini bersetuju melantik Pengerusi PH negeri, Adly Zahari mengetuai jentera pilihan raya PH bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri.
Dalam satu Kenyataan Majlis Presiden yang dikeluarkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau turut memutuskan menolak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee sebagai calon parti pembangkang itu dalam PRN tersebut.
Kenyataan itu turut menyatakan mesyuarat yang berlangsung pada hari ini juga tidak membangkitkan pencalonan tiga lagi bekas ADUN Melaka bagi menghadapi PRN yang diadakan 20 Novemberi ini.
“Dalam isu empat bekas ADUN, PH telah menerima pandangan semua pihak yang tegas tentang perkara ini. Perlu ditekankan kepentingan rakyat adalah lebih penting daripada mana-mana individu.
“Oleh kerana mereka bukan ahli mana-mana parti komponen PH, maka soal pencalonan mereka dalam PRN tidak berbangkit di dalam mesyuarat hari ini,” katanya.
Majlis Presiden PH turut memutuskan untuk menghantar wakil bertemu serta berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya berhubung prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Ini bagi menyampaikan pandangan PH serta memastikan prinsip demokrasi dijunjung, hak parti-parti politik bertemu pengundi tidak terjejas, dan perjalanan pilihan raya adalah adil kepada semua pihak terutama pada ketika Melaka berada di dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara,”kata kenyataan itu.