Nazirah Hassan
DUYONG – Sejak pembukaan semula Hang Tuah Equin Centre pada peralihan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara, pusat ekuin ini mengalu-alukan penyertaan orang ramai dalam pelbagai aktiviti berkuda di sini. Hang Tuah Equine Centre beroperasi bersama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), menjadikannya perbadanan muzium pertama di Malaysia yang memiliki kuda serta menawarkan perkhidmatan aktiviti berkuda.
Asalnya, aktiviti berkuda ini bergerak di bawah operasi Batrisya Horse Stable & Riding Centre yang terletak di Tambak Bugis, Telok Mas. Namun sejak bergabung dengan PERZIM pada 2018, ia kini bertukar lokasi di Hang Tuah Centre, Duyong. Sejak berkolaborasi dengan PERZIM juga, Hang Tuah Equine Centre kini menjadi tarikan utama dalam mempromosikan tempat kelahiran Hang Tuah sebagai pusat aktiviti berkuda.
Adam Hazrik, 31, selaku pengurus operasi di sini turut menzahirkan rasa teruja dengan pembukaan semula pusat ekuin ini sejak pertengahan bulan lepas.
Katanya, walaupun aktiviti berkuda merupakan hobi yang sinonim dengan golongan atasan, namun
dengan harga pakej kelas menunggang kuda yang berpatutan serta bimbingan jurulatih profesional, pusat ini mula melihatkan penglibatan yang lebih aktif daripada golongan B40.
“Seperti peminat sukan berkuda lain, saya turut berbesar hati dapat mengoperasikan tempat ini seperti sedia kala. Hampir setiap hari slot untuk kelas menunggang kuda penuh. Aktiviti lain seperti ‘fun ride’ serta memberi makan kepada arnab-arnab comel juga turut mendapat sambutan daripada orang ramai,” katanya kepada MelakaFirst.
Bagi mendedahkan aktiviti berkuda kepada orang ramai, Hang Tuah Equine Centre menawarkan aktiviti ‘fun ride’ dengan harga serendah RM 10 sahaja.
“Semua kuda di sini mendapat penjagaan rapi dan terlatih agar cepat mesra dengan pengunjung yang hadir.” tambah Adam.
Pusat ekuin yang menempatkan 10 ekor kuda pelbagai baka ini menawarkan penyertaan kelas menunggang kepada yang berminat dan bakal didedahkan kepada asas kemahiran menunggang kuda seperti ‘bonding’, ‘controlling’ dan ‘trotting’ dengan bimbingan khusus daripada jurulatih berpengalaman.
Menariknya, di sini juga mereka menerima pelajar semuda usia tujuh tahun sebagai peserta latihan menunggang kuda.
Bagi memastikan penjagaan SOP serta pembelajaran yang lancar, pusat ini menetapkan tiga pelajar sahaja dalam satu sesi.
Memang tidak dinafikan penjagaan kuda memerlukan modal yang besar dengan persekitaran yang sesuai untuk kuda hidup dengan sihat. Bagi yang berhasrat untuk membela kuda dengan harga mampu milik, Hang Tuah Equine Centre turut menawarkan pakej ‘kuda angkat’ atau ‘adoption package’. Dengan yuran bulanan serendah RM 50 sahaja, peserta layak untuk menikmati keistimewaan seperti ‘petting session’ percuma dan aktiviti ‘fun ride’ ekslusif buat pemilik kuda angkat di bawah program ini. Bagi yang berminat untuk menyertai program serta aktiviti berkuda di Hang Tuah Equin Centre, boleh hubungi 012-6385673 atau layari laman Facebook Hang Tuah Equin Centre untuk maklumat lanjut.