NYALAS – Seorang ahli perniagaan, Azmar Ab Hamid, 49 mengumumkan hasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan untuk merebut kerusi tersebut sekiranya bekas
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Idris Haron bertanding di DUN tersebut.
Azmar yang juga bekas rakan persekolahan Idris dari Sekolah Menengah Mudzafar Shah (MOZAC) akan menentang bekas ahli UMNO itu dan yakin mempunyai peluang yang baik untuk menang memandangkan beliau merupakan
anak tempatan.
“Sah saya akan bertanding. Politik bergolak dengan berbagai ragam orang. Saya tawarkan diri untuk memberi pilihan supaya pengundi ada alternatif jika mereka menolak calon-calon dari parti politik lain.
“Saya merupakan penduduk tempatan di sini, jadi saya ingin berkhidmat dan berbakti kepada penduduk setempat bagi mengubah nasib terutama dalam aspek ekonomi dan keusahawanan tanpa mengira bangsa,” katanya.
Ditanya apakah beliau mempunyai masalah peribadi bersama bekas Ketua Menteri itu hingga membuat keputusan nekad untuk menentang Idris, beliau berkata dia berhak bertanding dan beranggapan kesanggupannya melawan Idris ibarat ‘buku bertemu ruas’.
“Masalah antara saya dan Idris mungkin tidak besar pada orang lain tapi besar pada saya, boleh gila dibuatnya. Itu biar menjadi rahsia antara saya dengan dia, jika dia rasa nak minta maaf, saya maafkan. Tapi, lawan tetap lawan.
“Saya akan menggunakan payung sebagai lambang pada PRN nanti dan bergantung sepenuhnya terhadap media sosial sebagai platform berkempen, malah saya mempunyai jentera yang mencukupi untuk membantu saya nanti,”
kata yang turut teruja kerana ini juga merupakan pengalaman pertamanya.
Azmar juga menegaskan tidak dibiayai oleh mana-mana pihak untuk bertanding dalam pilihanraya tersebut sebaliknya memperuntukkan wang poket sendiri.
“Saya biayai sendiri dan saya melakukan ini atas kehendak saya sendiri, selain menawarkan peluang untuk membantu rakyat miskin yang mendorong saya untuk bertanding sebagai calon bebas.
“Saya bertanding bukan untuk pecah undi. Saya mahu menang walaupun ramai yang membuat tohmahan dan memandang rendah kemampuan saya. Tak apa, tak terkesan pun dengan perli dan hinaan yang dilemparkan
kepada saya,” tambahnya yang juga merupakan penggiat sukan angkat berat di negeri ini.