MELAKA RIVER CRUISE LANCARKAN PAKEJ PIT STOP

Nazirah Hassan

MELAKA – Satu tarikan terbaru iaitu Pakej Pit Stop telah diperkenalkan di Melaka River Cruise bagi menggalakkan lagi kunjungan pelancong dalam dan luar Melaka. Menariknya tentang pakej ini, pelanggan berpeluang untuk menaiki bot ke pelbagai lokasi pelancongan terpilih di tepian sungai Melaka tanpa had dengan pas pit stop yang sah digunakan selama satu hari.

Pakej Pit Stop Melaka River Cruise telah dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Dato’ Ts Kamel Mohamad. Turut hadir dalam majlis perasmian ini ialah Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka
Datuk Abdul Aziz Engan, dan
Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk Murad Hussein.

Pakej pit stop ini dilihat lebih berbaloi berbanding tarikan River Cruise sedia ada yang membawa pelancong bersiar-siar menaiki bot bagi menikmati pemandangan sekitar bandar bersejarah. Dalam mewujudkan pakej pit stop, beberapa jeti sekitar Sungai Melaka telah diwujudkan sebagai hentian untuk bot pit stop seperti Kampung Morten, Kampung Hulu, Kampung Jawa dan Stadthuys.

Sementara itu Murad berkata, pit stop di pelbagai lokasi bukan sahaja memudahkan mobiliti pelancong ke tarikan menarik sekitar Sungai Melaka, malah ia berpotensi dalam menggiatkan lagi ekonomi penduduk setempat. Ia juga bertepatan dengan keunikan tersendiri yang ada pada tempat-tempat ini seperti Cendol Kampung Hulu dan Kuih Keria Kampung Morten.

“Sebenarnya, kami telah merancang pakej pit stop ini sejak awal tahun. Ekoran wabak pandemik yang melanda negara, projek ini terpaksa ditunda. Bertepatan dengan kebenaran untuk merentas negeri sejak dua minggu lepas, pelancaran pakej pit stop pada hari ini cukup sesuai bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di Melaka.”

“Sejak rentas negeri dibenarkan, kita berjaya merekodkan kedatangan seramai 64,000 pelancong domestik. Tarikan-tarikan utama sekitar Melaka seperti Menara Taming Sari, A’Famosa Water Theme Park serta River Cruise dilihat mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan dengan jumlah kutipan tiket keseluruhan mencecah lebih dari RM 1.7 juta dari awal Oktober. Ini membuktikan Melaka sentiasa menjadi pilihan destinasi pelancongan buat rakyat Malaysia,” katanya kepada MelakaFirst.

Dalam majlis sama, turut diadakan majlis perasmian Asahan Coffee yang beroperasi di Jeti River Cruise ,Taman Rempah serta lawatan ke Jeti Kampung Morten bagi beramah mesra dengan pengusaha tempatan yang giat mempromosikan produk asli dari Kampung Morten.

Sempena hari pelancaran Pakej Pit Stop ini juga, Melaka River Cruise turut menawarkan promosi terhad iaitu diskaun sebanyak 30% bagi pembelian tiket. Bagi yang berminat untuk mendapatkan tiket bagi pakej pit stop, orang ramai boleh mengunjungi Jeti Taman Rempah atau Jeti Quayside yang terletak di muara Sungai Melaka bagi tujuan pembelian tiket. Harga tiket bagi pakej pit stop untuk pemegang MyKad boleh didapati dengan harga RM 40 bagi dewasa dan RM 25 bagi kanak-kanak. Orang ramai juga boleh melayari melakarivercruise.my untuk pembelian tiket secara atas talian.

Amalina MF

Amalina MF

Artikel Berkaitan

MUZIUM MENARIK DI MELAKA

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *