BANDARAYA MELAKA – Menjelang Pilihanraya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada 20 November nanti, para pengundi mula ditawarkan calon-calon yang mewakili pelbagai parti sebagai bakal wakil rakyat mereka.
Mengambil kira cita rasa pengundi, pelbagai telahan dibuat dan tidak ketinggalan andaian yang mengatakan keputusan di peti undi pastinya dipengaruhi kekuatan sesebuah parti, dan bukan faktor calon.
Persepsi itu dikuatkan lagi dengan perkembangan politik mutakhir ini yang menyaksikan pertembungan antara Barisan Nasional (BN), Muafakat Nasional (MN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
Dalam keadaan politik berbagai ragam dengan kemelut yang melanda kebanyakkan parti bertanding, apakah pengundi akan memilih calon berdasarkan personaliti atau memilih parti yang mewakilkan calon tersebut.
Bagaimana kehendak pengundi? Apakah mereka akan memilih parti walaupun calonnya tidak memenuhi kreiteria sebagai bakal wakil rakyat atau pengundi menitikberatkan personaliti calon tanpa mengambilkira calon itu dari
parti mana.
MelakaFirst membuat tinjauan dan bertanya kepada pengundi siapa yang mereka pilih, calon atau parti? Sama ada mereka memilih individu yang dirasakan mampu mengubah dinamika politik meskipun datang daripada
parti kurang berpengalaman mentadbir negara, ataupun melilih calon yang mempunyai personaliti dan kredibiliti menarik meskipun bukan daripada parti dominan.
Ahli UMNO, Shahrul Mubarak Ahmad berkata, pendirianya memilih parti adalah lebih utama kerana hanya parti terbaik sahaja dapat menjadi penggerak kepada struktut pendtadbiran negara.
Dalam masa sama, parti yang berpengalaman seperti UMNO sudah tentu memiliki barisan pemimpin yang berkebolehan dan tidak perlu dibimbangi untuk memilih siapa sahaja wakil yang dipertaruhkan.
“Dalam rancak memperkatakan mengenai apa, siapa dan bagaimana pola pengundian terbentuk, harus difahami bahawa realiti politik Malaysia menunjukkan bahawa parti itu masih lagi dominan dalam penentuan undi
sedangkan calon hanya berfungsi sebagai nilai tambah,” katanya.
Bagi Diana Arifin pula, analoginya sama seperti yang diutarakan Shahrul, meskipun berlainan ideologi politik tetapi pilihan mereka lebih terarah kepada parti yang diwakili.
“Individu semata-mata tak mampu membuat apa-apa untuk rakyat. Dukungan parti dalam menentukan hala tuju dan dasar serta khidmat kepada rakyat tidak dapat dinafikan.
“Saya selaku pengundi akan menyokong parti yang dapat memberikan sesuatu atau manfaat kepada rakyat dalam pelbagai aspek kerana keyakinan saya terhadap parti itu lebih kukuh, tidak kira siapa pun calonnya,” katanya.
Sementara itu Norliza Md Yamin pula memberitahu, pemilihan faktor parti bergantung kepada senario politik semasa. Ketika ini Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memberi gambaran mereka lebih baik dalam mengurus negara berbanding Pakatan Harapan (PH).
“Mereka mendakwa parti masing-masing lebih baik daripada parti lawan. Justeru parti biasanya mengambil sikap berhati-hati dalam mengemukakan calon khususnya calon muda yang kurang berpengalaman. Namun jika
tersalah meletakkan calon juga, parti akan tenggelam dan pengundi tidak mustahil akan memilih calon.
“Apabila mengambil kira perspektif berkenaan, andaian turut dibuat jika ada calon berpengalaman, dikenali ramai terutama dalam kalangan masyarakat setempat yang cuba menawarkan diri bertanding sebagai calon
bebas, ada kemungkinan calon ini akan menang,” ujarnya.