PUSAT LATIHAN ANGKAT BERAT HIDILYN DIAZ DI KESANG TUA

MUHAMMAD ZAIDEE DAUT

JASIN – Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada Melaka atas kejayaan merangkul pingat emas Olimpik pertama Filipina, jaguh angkat berat Hidilyn Diaz bakal membina sebuah pusat latihan di Kampung Kesang Tua di sini.

Memetik laporan yang disiarkan Bernama, Naib Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Ahmad Janius Abdullah berkata, Hidilyn Diaz juga akan menaik taraf kemudahan sedia ada bagi pembangunan sukan itu.

Menurut beliau, Hidilyn Diaz yang sedang menjalani kuarantin di kampung berkenaan menyatakan hasratnya dan memperuntukkan wang sendiri berjumlah RM100,000 bagi merealisasikan projek berkenaan.

“Malam tadi dia menghubungi saya dan berbincang mengenai hasrat menaik taraf tempat berlatih untuk digunakan oleh atlet angkat berat negara ini.

“Ujarnya, atlet Filipina turut berminat mengadakan latihan di pusat berkenaan, sebagai persediaan mereka menghadapi pelbagai kejohanan.

“Saya turut diminta bertemu kontraktor hari ini bagi membina dewan gimnasium angkat berat dan asrama untuk kemudahan atlet menginap di situ, selain mahu projek pembinaan itu dipercepatkan,” katanya.

Hidilyn tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu lalu seterusnya menjalani kuarantin di Kampung Kesang Tua hingga 5 November ini.

Ahmad Janius juga dilaporkan berkata, usaha itu sewajarnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh atlet negara ini, untuk menimba ilmu dan pengalaman berlatih bersama juara Olimpik tersebut di samping melahirkan atlet yang mampu diketengahkan sekali gus mengembalikan kegemilangan sukan angkat berat di Malaysia.

“Bahkan selepas kejayaan Hidilyn, pihak kita juga menerima permintaan daripada beberapa persatuan angkat berat seperti dari Thailand dan India yang mahu turut serta berlatih di tempat sama.

“Sejak rentas negeri dibenarkan, kita juga menerima kunjungan dan rombongan daripada pelbagai pihak untuk bergambar di tempat latihannya,” katanya.

Sebelum ini, nama Kampung Kesang Tua menjadi tumpuan susulan kemenangan atlet berusia 30 tahun itu di temasya Olimpik Tokyo baru-baru ini, selepas Hidilyn dikatakan terkandas dan menjalani latihan di Malaysia sejak Januari tahun lalu berikutan sekatan pergerakan akibat penularan COVID-19.

Kejayaan wanita berasal dari Zamboanga City itu turut menjadi kebanggaan keluarga angkatnya di Kampung Kesang Tua, yang menghabiskan masa bersama Hidilyn lebih setahun lepas di rumah berkenaan selain berkesempatan menghantar Hidilyn dan pasukannya ke KLIA untuk berlepas ke temasya Olimpik Tokyo.

-MF-
Sumber : BERNAMA

Amalina MF

Amalina MF

Artikel Berkaitan

MUZIUM MENARIK DI MELAKA

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *