JANGANLAH TUKAR KE DUN LAIN- RAHMAD

Aflieza Arshad

AYER MOLEK – Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman mahu kekal
bertanding di kerusi DUN terbabit sekiranya dicalonkan sekali lagi sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November nanti.

Hasrat tersebut dinyatakan Rahmad bagi menjawab desas-desus beliau mungkin dipindahkan ke DUN lain dalam rombakan senarai calon yang diumumkan nanti.

Rahmad yang juga Exco Kesihatan dan Antidadah Negeri berkata, beliau masih belum puas berkhidmat selama 18 bulan bersama kerajaan dan UMNO selain banyak agenda dan perancangan yang belum dapat diselesaikan.

“Untuk tukar ke DUN lain tu, janganlah, sebab saya anak watan di sini dan inilah tempat tumpah darah. Selain itu saya kenal majoriti penduduk di sini, mereka juga kenal saya dan kami seperti keluarga.

“Cinta saya terhadap DUN Ayer Molek tak terkata, sebab itu saya bekerja sepenuh jiwa, ikhlas dan tidak pernah dalam keadaan terpaksa.

“Saya juga tahu dan kenal setiap inci dan lorong-lorong jalan di sini, saya tidak sesat bila berada di dalam DUN Ayer Molek ini sama ada siang atau malam. Biasanya saya akan mencari sendiri isu-isu dan sebelum masyarakat mengadu, saya akan tahu terlebih dahulu
apa masalah dan apa jalan penyelesaiannya,” jelas Rahmad, satu-satunya calon UMNO yang menang di DUN dalam Parlimen Hang Tuah Jaya pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-14.

Rahmad menang dengan undi majoriti 1,805 menewaskan Farhan Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jantan Abdullah dari PAS dan Profesor Madya Dr Kamarolzaman Mohd Jidi, calon Bebas.

Ditanya apakah manifesto peribadi bagi mengekalkan momentum sebagai calon wakil rakyat di Ayer Molek, Rahmad berjanji akan melakukan sehabis baik amanah yang diberikan kepada beliau.

“Saya tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang sebaliknya bersedia menyelesaikan sepantas mungkin apa juga aduan dan masalah yang dihadapi masyarakat di Ayer Molek.

“Ada yang boleh diselesaikan segera dan ada juga yang
perlu diselesaikan dalam jangka masa panjang. Jika aduan itu mengambil masa yang agak lama saya berharap rakyat boleh bersabar untuk menunggu penyelesaian,” katanya kepada MelakaFirst.

Rahmad menang dan menjadi wakil rakyat pada saat UMNO kalah, melaksanakan amanah sehabis
baik tanpa sebarang prejudis.

Katanya, dia boleh menghadapi sebarang situasi dan tekanan dan selain tidak kekok untuk bekerja dengan memperkuatkan hubungan bersama penduduk Ayer Molek tanpa mengira latar belakang.

“Jika berdepan dengan apa situasi apa pun, Insha Allah saya boleh menyelesaikannya dengan baik. Saya tak pernah merasakan jawatan dan kedudukan itu keistimewaan untuk bermegah-megah.

“Itu semua tidak mengubah hidup saya, sebelum ini dan sehingga kini dan pada masa akan datang, saya masih sama dan akan berkhidmat sebaiknya kepada rakyat dan penduduk di Ayer Molek,” jelasnya yang
turut popular dengan slogan, ‘beri kerja saya kerjakan’.

-MF-

Amalina MF

Amalina MF

Artikel Berkaitan

MUZIUM MENARIK DI MELAKA

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *