Aflieza Arshad
TANJUNG BIDARA -Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Md. Rawi Mahmud mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bagi memberi laluan kepada muka baharu menjadi wakil rakyat di DUN terbabit.
Kata Md. Rawi, faktor usia yang menjangkau 70 tahun,
menyebabkan beliau nekad untuk mengundur diri daripada bertanding pada PRN nanti.
“Saya sudah menjadi wakil rakyat selama dua penggal dan dalam tempoh tersebut saya sudah melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat sebaiknya, jadi biarlah UMNO tampilkan muka baharu yang lebih
berwibawa.
“Lebih baik bagi peluang kepada muka baharu, untuk menggantikan tempat saya dalam usaha mempertahankan kerusi di DUN Tanjung Bidara
kerana ramai juga calon UMNO yang boleh diketengahkan.
“Malah saya yakin Tanjung Bidara akan kekal menjadi milik BN memandangkan rakyat di kawasan tersebut masihmemberi kepercayaan tinggi terhadap UMNO,” katanya.
Md. Rawi bertanding selama dua penggal iaitu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) mengalahkan calon Pas, Imran Abdul Rahman dengan majoriti 4,240 undi.
Pada PRU-14, Md. Rawi mempertahankan kerusi yang dimenanginya dengan majoriti 2,864 mengatasi dua calon lain.
Hasrat tidak bertanding turut dimaklumkan kepada Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
-MF-