Aflieza Arshad
PAYA RUMPUT – Pesara tentera, Mejar Jaini Dimon, 52 mengumumkan hasrat bertanding sebagai calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
Zaini, pemastautin 18 tahun di kawasan tersebut berkata, keputusan itu diambil kerana dorongan daripada penduduk setempat yang enggan berkompromi dengan tawaran daripada parti politik sedia ada yang berkepentingan.
Katanya, keputusan yang dibuat itu tidak mudah, namun hasil perbincangan dengan pelbagai pihak selain menimbang risiko yang bakal dihadapi, dia nekad menawarkan diri sebagai calon pada PRN nanti.
“Walaupun mengambil keputusan untuk bertanding sebagai calon Bebas, saya tidak berseorangan, sebaliknya yakin mempunyai sokongan dalam kalangan pengundi di DUN ini.
“Saya sudah lama menetap di Paya Rumput, malah hubungan baik dengan penduduk di sini juga akrab. Sebab itu saya tawarkan diri bertanding seterusnya menjadi suara rakyat kepada penduduk Paya Rumput,” katanya yang juga merupakan seorang ahli perniagaan.
Kata Jaini lagi, sebagai calon Bebas, beliau sedar tidak mampu menabur janji di luar kemampuan bagi menarik sokongan pengundi, namun sedaya upaya akan melakukan yang terbaik jika kemenangan memihak kepada beliau.
Tambahnya, selaku bekas penjawat awam yang dididik tidak mendekati rasuah sepanjang berkhidmat dalam tentera, beliau yakin kriteria tersebut menjadikan dirinya calon yang layak dan bagus untuk berkhidmat dan menyumbang kepada rakyat.
“Saya pernah mempertaruhkan diri dengan nyawa dan darah demi berkhidmat kepada negara. Dan semangat itulah akan saya perjuangkan untuk kepada penduduk di Paya Rumput kelak.
“Saya juga tidak menolak kemungkinan menjalin kerjasama dengan NGO dan parti politik lain yang berkongsi wawasan yang sama dengan saya dalam usaha untuk membela dan memperjuangkan nasib rakyat,”ujarnya.
Jaini juga akur dengan prosedur operasi standard
(SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang melarang kempen dari rumah ke rumah namun mempunyai alternatif terhadap pasukan media sosialnya.
“Saya akan membanyakkan penggunaan media sosial untuk mendekati pengundi tetapi dalam masa yang sama ada strategi lain untuk menyantuni penduduk secara berkesan.
“Apa yang penting PRN ini berjalan dengan lancar, penuh
semangat perpaduan, persaudaraan dan saling hormat-menghormati,” katanya
-MF-