Aflieza Arshad
MERLIMAU – Calon muka baharu yang disebut-sebut namanya, Dr Akmal Saleh 33, menyerahkan kepada pucuk pimpinan sama ada mahu mencalonkan beliau
atau tidak pada Pilihanraya Negeri (PRN) akan datang.
Doktor perubatan berkelulusan dari Russian National Medical University itu juga mengamanahkan kebijaksaan pengundi membuat keputusan jika benar khabar angin beliau bertanding di DUN Merlimau menjadi kenyataan.
“Jika betul cakap-cakap yang mengatakan saya sebagai calon, ini jelas membuktikan bahawa UMNO tidak pernah meminggirkan suara golongan muda dalam usaha memberikan khidmat kepada masyarakat.
“Saya melihat apabila pucuk pimpinan memilih golongan muda sebagai calon bertanding pada pilihanraya kali ini bukan hanya disebabkan usia mereka yang muda, tetapi lebih menekankan kepada keupayaan
golongan ini berkhidmat kepada rakyat.
“Kita tidak menjanjikan bulan bintang tetapi, apa yang penting terus membuat kerja kepada masyarakat dan saya yakin dengan perkhidmatan diberikan selama ini, penduduk mampu membuat pilihan tepat,” katanya kepada MelakaFirst.
Dr Akmal berkecimpung secara aktif dalam arena politik sejak kejatuhan UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 berkata, parti dominan orang Melayu ini tidak bercakap kosong apabila melaungkan aspirasi terhadap golongan muda, namun membuktikannya melalui pemilihan calon daripada kelompok tersebut.
“Saya tidak pernah melobi untuk dipilih sebagai calon, tetapi, jika terpilih saya terima cabaran ini dan amat berterima kasih kerana memberi kepercayaan kepada orang muda.
“Selama ini saya sudah membuat yang terbaik bagi menyampaikan apa dikehendaki masyarakat dan jika diberi mandat nanti terpulanglah kepada pengundi untuk memilih siapa wakil rakyat mereka.
“Apa pun saya faham, pengundi di Merlimau bukan hanya terdiri daripada golongan muda sahaja, malah yang berusia 40 tahun ke atas juga ramai, maka perjuangan saya bukan bertumpu faktor usia sahaja, sebaliknya lebih menyeluruh,” katanya yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin.
Dr Akamal yang turut memegang jawatan sebagai
Ketua Pegawai Operasi Hospital Pakar Putra semasa
ditanya mengenai kesediaan berkempen secara maya,
mengakui proses pilihanraya kali ini sangat unik justeru perlu bijak melaksanakan kempen dengan berkesan bagi memenangi hati pengundi.
“Pilihanraya kali ini sangat unik kerana semua parti tidak
dibenarkan berkempen secara bersemuka, jadi pergantungan kepada media sosial meningkat dengan pantas.
“Selain menggunakan pentas digital dan laman sosial sebagai kempen, saya tidak akan melupakan tradisi menyantuni penduduk namun secara patuh SOP untuk mendekati mereka.
“Malah selama ini pun, selepas PRU -14 dan sehingga sekarang saya sudah menyantuni ramai penduduk yang memerlukan bantuan menerusi pelbagai aktiviti khidmat masyarakat sama ada bersama NGO ataupun klinik saya, “kata pemilik Klinik Dr Akmal yang mempopularkan tagline ‘doktor kampung untuk orang kampung.’
-MF-