Nazirah Hassan
PERINGGIT – Bagi memudahkan rakyat di negeri ini, Panorama Melaka melancarkan perkhidmatan bas henti-henti.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, sebanyak 24 bas baharu disediakan, menjadikan jumlah keseluruhan 43 bas akan beroperasi di 17 laluan.
“Pertambahan bas yang lebih selesa ini menjadi bukti komitmen kerajaan negeri dalam menawarkan sistem pengangkutan lebih berkualiti terutamanya buat golongan B40,” katanya pada majlis pelancaran perkhidmatan bas henti-henti di Melaka Sentral di sini.
Tambah beliau, 24 bas baharu itu merupakan milik sepenuhnya Panorama Melaka, manakala selebihnya bas sewa.
“Menariknya, bas baharu ini mempunyai sistem pengesan dan kelajuan selain dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi menjamin keselamatan pemandu bas serta penumpang,” katanya.
Selain itu, kerajaan turut meneruskan inisiatif Program Bas Penyayang bagi menyumbang tiket percuma kepada golongan bersasar seperti Orang Kurang Upaya (OKU), penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), fakir miskin serta penerima bantuan asnaf.
Inisiatif tersebut melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM985,000 ini diharap memberi faedah kepada hampir 33,000 rakyat negeri ini.
-MF-