MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
MELAKA – Seramai 112 calon layak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi mewakili parti-parti politik serta individu perseorangan yang mewakili Bebas.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata PRN kali ini bakal menyaksikan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek.
Menurutnya,pertandingan lima penjuru pula membabitkan lima kerusi iaitu di DUN Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Bemban.
“Sembilan DUN menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala 11 lagi DUN membabitkan tiga penjuru,”katany dalam sidang media di Menara Persekutuan di sini, selepas proses penamaan calon tamat, hari ini.
Terdahulu, proses penamaan calon yang bermula 9 pagi berlangsung dalam suasana norma baharu, tanpa perarakan penyokong parti politik ke pusat penamaan di 28 pusat penamaan calon dan ditutup 10 pagi ini dalam keadaan lancar.
Abdul Ghani berkata, pertandingan empat penjuru membabitkan DUN Kuala Linggi, Durian Tunggal, Sungai Udang, Bukit Katil, Ayer Molek, Bandar Hilir, Telok Mas, Serkam dan Sungai Rambai.
Katanya, tiga penjuru pula membabitkan DUN Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Pantai Kundor, Kelebang, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Rim dan Merlimau.
“Daripada jumlah ini, 28 calon masing-masing daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) (lima), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) (satu) dan Bebas (22),”katanya.
Menurut Abdul Ghani, daripada 112 calon yang bertanding, 96 orang calon adalah lelaki manakala 16 wanita membabitkan sembilan calon muda berusia 21 hingga 29 tahun.
“21 calon berusia 30 hingga 39 tahun, 35 calon berusia 40 hingga 49 tahun, 36 calon berusia antara 50 hingga 59 tahun, manakala 11 calon berusia 60 tahun ke atas dengan calon tertua berusia 68 tahun dan calon termuda pula berusia 21 tahun,” katanya.
Abdul Ghani menjelaskan, tempoh rasmi berkempen telah pun bermula hari ini dan akan berakhir pada 11.59 malam, 19 November.