MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
MELAKA – Bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat dan aduan mengenai mengenai sebarang perbuatan rasuah serta salah guna kuasa berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan bilik gerakan PRN Melaka yang beroperasi mulai hari ini.
SPRM dalam kenyataan media berkata, bilik gerakan itu akan beroperasi 24 jam di Pejabat SPRM Melaka, Alai.
Menurut kenyataan tersebut, bilik gerakan itu dilancarkan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat dan aduan mengenai sebarang perbuatan rasuah serta salah guna kuasa berkaitan PRN.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau aduan berkaitan boleh menyalurkannya melalui e-mel kepada [email protected] atau terus menghubungi talian 06-2896011 atau 06-2896000,”menurut kenyataan tersebut.
SPRM turut mengingatkan semua calon dan parti politik yang bertanding supaya tidak melakukan aktiviti yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya selaras dengan Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012).