Nazirah Hassan
DURIAN TUNGGAL – Bekas ADUN Durian Tunggal, Mohd Sofi Abdul Wahad menyasarkan pembangunan Durian Tunggal sebagai kawasan berpotensi tinggi.
Beliau berkata, lokasi Durian Tunggal yang berdekatan dengan Tol Ayer Keroh dilihat strategik dan wajar dibangunkan sebagai pekan mesra pelancong bagi mempromosikan produk tempatan Melaka secara lebih meluas.
“Pelbagai masalah dan isu dihadapi di DUN ini perlu diatasi dalam usaha memastikan pembangunan di sini dapat berjalan dengan baik.
“Antara masalah perlu diambil perhatian ialah banjir kilat dan kenaikan air di beberapa kawasan sekitar Durian Tunggal setiap kali hujan lebat.
“Di samping itu, kesesakan lalu lintas di pekan Durian Tunggal juga sering merunsingkan penduduk setempat lebih-lebih lagi pada waktu kemuncak. Bagi mengatasi masalah ini, saya mengambil inisiatif membina jalan pintas dari simpang Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal ke Taman Murai Jaya untuk mengurangkan kesesakan,” katanya kepada MelakaFirst.
Tambah Mohd Sofi, capaian internet yang terhad di DUN ini juga menjadi isu besar kepada penduduk setempat yang bergantung kepada internet untuk bekerja dan belajar secara atas talian.
“Bagaimanapun, perbincangan telah dibuat bagi membina fasiliti internet lebih banyak agar akses internet di sini lebih lancar,” katanya.
Sementara itu, Pilihan Raya Negeri(PRN) Melaka kali ini menyaksikan beliau berdepan Zahari Abdul Kalil (BN), dan Jaafar Othman (PN).
Beliau berharap kemenangan berpihak lagi kepadanya dalam usaha merealisasikan pembangunan Dun itu.
“Saya juga mengambil kesempatan ini merakamkan ribuan terima kasih kepada semua penduduk Durian Tunggal yang telah memberi peluang berkhidmat sebagai DUN kawasan ini sejak 2018,” katanya.
-MF-