MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
KUALA LUMPUR: Sejumlah 7,601 kertas undi pos telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sejak 9 November lalu kepada individu yang berhak untuk melaksanakan tanggungjawab mereka menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, dalam satu kenyataan dikeluarkan SPR semalam berkata pengeluaran kertas undi pos itu dijalankan petugas pilihan raya di semua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Menurut Ikmalrudin, pengeluaran kertas undi pos itu juga adalah selaras peruntukkan peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.
Katanya, semua kertas undi pos berkenaan merangkumi 6,871 kategori Borang 1A untuk diagihkan kepada petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera, dan petugas media.
“Sebanyak 511 undi pos lagi untuk kategori Borang 1B yang terdiri daripada warganegara Malaysia di luar negara, 113 kategori Borang 1C bagi sembilan Agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan serta 106 Pengundi Tidak Hadir (PTH) luar negara.
“Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding.
“SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang pengisytiharan identiti (Borang 2).
“Borang itu kemudian perlu segera dikembalikan kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum jam 5 petang pada hari mengundi iaitu 20 November depan.
“Pengundi juga diingatkan untuk sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menyebarkannya di laman media sosial,”katanya.