PRN MELAKA : BN TAWAR 103 INISIATIF

MUHAMMAD ZAIDEE DAUT

MELAKA – Barisan Nasional (BN) menggariskan lima teras dan 103 inisiatif sebagai manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bertemakan Kestabilan Demi Kemakmuran manifesto
itu menekankan lima teras utama iaitu kestabilan politik; lonjakan ekonomi baharu; kecekapan tadbir urus; masyarakat bersatu padu serta pembangunan mampan dan perkongsian kemakmuran.

Timbalan Presiden BN merangkap Pengarah Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, menerusi teras pertama, BN berjanji menyediakan peruntukan kepada semua 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk ADUN bukan kerajaan sebagai langkah memastikan kemakmuran kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang politik.

“Ia akan dimanifestasikan menerusi cadangan meminda Perlembagaan Negeri bagi tujuan melantik lima orang ADUN tambahan termasuk dari kalangan belia dan NGO (badan bukan kerajaan).

“Ini adalah bagi membuka ruang serta perspektif persidangan DUN di luar ruang lingkup politik semata-mata dan untuk melantik lima ADUN tambahan, BN perlu menang dua pertiga daripada keseluruhan 28 kerusi yang dipertandingkan,” katanya pada majlis pelancaran manifesto berkenaan yang dilakukan secara hibrid di Taman Botanikal di sini.

Menurut Mohamad, manifesto itu juga sebagai akur janji kepada rakyat Melaka.

“Menerusi teras kedua, BN berjanji merealisasikan lonjakan ekonomi baharu dengan kekuatan sektor ekonomi sedia ada yang terdapat di Melaka termasuk pelancongan disamping memperkasakan tumpuan terhadapa kemahiran bakat tempatan, usahawan dan peniaga kecil, nelayan, petani dan penternak.

“Teras ketiga manifesto pula menjurus kepada kecekapan tadbir urus yang mana BN bertekad memberi komitmen dalam meningkatkan pengurusan kerajaan dan memperbaiki kelemahan sekiranya ada.

“Kita akan mengangkat inisiatif untuk mewujudkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Melaka dalam usaha mendengar dan memanfaatkan idea, pandangan dan perubahan yang hendak dilaksanakan di Melaka nanti,” katanya.

Tambah beliau, menerusi teras keempat iaitu memelihara keharmonian masyarakat bersatu padu, BN akan memastikan setiap lapisan masyarakat mengecapi kehidupan lebih baik tanpa mengira keturunan, bangsa dan darjat.

“Parti akan terus menghulurkan sokongan sosial kepada komuniti, memartabatkan belia, memperkasakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan Orang Asli serta menyantuni warga emas, menghargai petugas barisan hadapan dan memperjuangkan kepentingan wanita,”katanya.

Sementara bagi teras kelima iaitu perkongsian kemakmuran, BN telah mengenal pasti projek-projek pembangunan berimpak tinggi, berserta keperluan menyediakan utiliti dan kemudahan awam berkualiti selain usaha mengatasi banjir serta melestarikan alam sekitar di negeri ini.

Mohamad turut menjelaskan, manifesto tersebut adalah realistik dan mampu siap dalam tempoh lima tahun dengan mengambil kira semua keperluan rakyat.

“Secara keseluruhan, teras dan inisiatif ini bersifat inklusif untuk keluarga Melaka atas prinsip ‘Tiada Siapa’ pun akan tercicir. Semua ini akan membawa kita kepada matlamat kestabilan demi kemakmuran,” katanya.

Amalina MF

Amalina MF

Artikel Berkaitan

MUZIUM MENARIK DI MELAKA

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *