Marina Sahabudin
MELAKA – Isu banjir terus menjadi keutamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk calon
Barisan Nasional (BN) DUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin.
Kalsom berkata, jika diberi mandat dan kepercayaan, beliau serius menangani permasalahan tersebut yang semakin membimbangkan dari semasa ke semasa.
Mesra disapa Kak Som, jelasnya, isu pelupusan sampah juga akan diberi tumpuan.
“Tidak hanya itu, pembangunan fasiliti sukan dan pusat sehenti belia turut dibawa ketengah bagi memberi ruang kepada golongan berkenaan.
“Pada masa sama, pembangunan ekonomi masyarakat setempat turut diberi perhatian bagi meluaskan lagi agenda pembangunan sekaligus meningkatkan taraf hidup penduduk Pengkalan Batu,” katanya menerusi laman Facebook BN COMMS.
Sementara itu, Kalsom,68, bakal berhadapan cabaran lima penjuru bagi PRN kali ini melibatkan Muhamad Danish Zainudin (Pakatan Harapan), Mohd Azrudin Md Idris (Perikatan Nasional), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas) dan Dr Mohd Aluwi Sari (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia) di DUN Pengkalan Batu.
Ketua Wanita UMNO Hang Tuah Jaya itu merupakan calon tertua dan antara lima calon wanita BN bakal berentap memenangi kerusi masing-masing selain Tuminah Kadi yang bertanding di kawasan Pantai Kundor, Datuk Khaidhirah Abu Zahar (Rim), Siti Faizah Abdul Azis (Sungai Rambai) dan Leong Hui Ying (Kesidang).
-MF-