PN UMUM CALON KETUA MENTERI SELEPAS PRN

MUHAMMAD ZAIDEE DAUT

MELAKA – Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan siapa bakal dilantik ketua menteri jika gabungan parti politik itu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini.

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ini kerana tumpuan parti berkenaan pada masa ini adalah untuk memastikan lebih banyak kerusi dimenangi parti itu pada PRN Melaka bagi membentuk kerajaan baharu.

Menurut Wan Saiful, sebaiknya biarlah urusan pelantikan dan penamaan calon Ketua Menteri diumumkan di peringkat kepimpinan tertinggi dan beliau merasa tidak sesuai untuk mengumumkannya sekarang.

“Macam yang saya sebut tadi mengenai calon ketua menteri ini kita tunggu selepas PRN, dan selepas kita tahu siapa yang menang, siapa yang duduk dalam gabungan kita di Dewan Undangan Negeri (DUN), dan kita pasti akan pilih calon ketua menteri terbaik untuk negeri Melaka.

“Jadi saya tak nak komen ke situ nanti ia jadi isu lain,” katanya pada sidang media PN Negeri Melaka di Pejabat Bersatu Hang Tuah Jaya, di sini semalam.

Hadir sama Pesuruhjaya PAS Melaka Datuk Kamarudin Sidek, Pengerusi Gerakan Melaka Datuk Seri Michael Gan Peng Lam dan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka Dr Mohd Yadzil Yaakub.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, rakyat melihat betapa kerajaan yang ditawarkan oleh PN ini ialah kerajaan yang fokus kepada menzahirkan keprihatinan kepada kesusahan hidup yang dihadapi mereka dan fokus PN adalah untuk memastikan ekonomi dibangunkan semula untuk kebajikan rakyat.

“Jadi dengan suasana seperti itu saya rasa peluang kita cerah baik dari parti Bersatu, Pas dan Gerakan,”katanya.

Wan Saiful turut menjelaskan PN turut akur dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dan akan memanfaatkan sebanyak 80 peratus penggunaan media sosial.

Katanya, Bersatu juga akan membincangkan selepas PRN nanti mengenai keterbukaan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dengan parti lain jika parti itu menang pada PRN ini.

“Mula-mula fokus kita ialah untuk memastikan PN mendapat bilangan kerusi majoriti yang jelas supaya kita boleh membentuk satu kerajaan yang stabil di Melaka.

“Apa yang berlaku selepas itu, kita tunggu selepas pilihan raya, selepas itu baru kita bincang mengenai isu-isu ini,” katanya.

Amalina MF

Amalina MF

Artikel Berkaitan

MUZIUM MENARIK DI MELAKA

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *