Nazirah Hassan
RIM – Meskipun bergelar selebriti, ia bukanlah tiket bagi Datuk Khaidirah Abu Zahar yang lebih dikenali sebagai Dira Abu Zahar untuk berasa selesa.
Bahkan calon BN DUN Rim itu nekad berusaha lebih gigih bagi memenangi hati pengundi dengan menampilkan pembaharuan ‘segar’ buat pengundi Rim.
Katanya, amanah diberikan parti sememangnya besar untuk digalas tetapi dia menerimanya dengan hati terbuka dan melihatnya sebagai cabaran dan pengalaman yang berharga.
“Saya tidak menjanjikan bulan dan bintang, sebaliknya menawarkan khidmat yang boleh mengangkat Rim ke tahap lebih baik. Banyak potensi khususnya melibatkan sektor ekonomi di sini yang boleh dimajukan bagi meningkatkan taraf hidup penduduk Rim,” katanya.
Dira, 37 turut menyifatkan rekod perkhidmatan penyandang sebelum ini, Datuk Ghazale Muhamad yang cukup baik sebagai satu cabaran meneruskan prestasi cemerlang bagi berkhidmat kepada warga setempat.
Jelas Dira, legasi bapanya yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Isnin akan diteruskan sebaiknya.
Menerusi PRN kali ini, Dira akan dicabar calon Perikatan Nasional, Azalina Abdul Rahman dan Prasanth Kumar A/l Brakasam yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan.
-MF-