MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
MELAKA – Seramai 11,557 pengundi akan keluar mengundi awal di 31 pusat mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada esok bermula jam 8 pagi.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata jumlah pengundi awal itu membabitkan 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 anggota polis di 24 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Menurut Ikmalrudin, sepanjang proses undi awal itu, pematuhan kepada Garis Panduan Pencegahan COVID-19 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berkuat kuasa seperti penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, sanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran akan dilaksanakan.
“Proses pengundian awal akan disaksikan ejen calon bertanding, selain SPR akan menyiarkan proses (pengundian) ini secara ‘live streaming’ menerusi Facebook SPR,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ikmalrudin menjelaskan, semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis dengan kertas undi terbabit hanya akan dikira pada bermula jam 4 petang Sabtu ini.
“Pengiraan kertas undi akan dijalankan di tempat pengiraan undi ditetapkan SPR dan urusan pengiraan undi akan disaksikan ejen calon masing-masing,” katanya.
Sebanyak tujuh lokasi mengundi bagi tentera dan pasangan akan dijalankan di Bilik Gerakan 96 DPP di DUN Lendu, Bilik Pusat Latih Palapes Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) di DUN Durian Tunggal dan Dewan Sri Beruang Kem Askar Wataniah membabitkan DUN Bukit Katil.
DUN Sungai Udang mencatatkan jumlah pusat pengundian awal terbanyak iaitu di tiga lokasi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Terendak I, SK Kem Terendak II dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kem Terendak serta Dewan Borhan.
Sementara itu, empat DUN tidak terbabit dalam proses pengundian awal iaitu DUN Tanjung Bidara, Pengkalan Batu, Duyong dan Serkam.