SELANGOR – Aspirasi Keluarga Bahagia antara faktor yang memainkan peranan penting terhadap kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Penganalisis politik Universiti Islam Malaysia (UIM), Tan Sri Profesor Dr Abdul Latif Abu Bakar berkata, ini kerana ia mampu membantu dalam aspek pembangunan negeri Melaka.
Menurutnya, konsep Keluarga Malaysia yang berbilang kaum duduk semeja berunding dalam kesatuan dan perpaduan juga mempengaruhi pengundi di Melaka.
“Secara tidak langsung ia memberi pelbagai manfaat kepada parti dalam kalangan orang Melayu untuk bersatu,” katanya.
Jelas Abdul Latif, Bajet 2022 yang diluluskan kerajaan juga memperuntukkan pelbagai faedah kepada rakyat terutama golongan B40 yang mana membantu BN mendapatkan sokongan rakyat Melaka.
“Dalam pandemik Covid-19 ini, kerajaan menyediakan kemudahan dan insentif kepada rakyat dan ini merupakan satu usaha yang berjaya.
“Dengan kemewahan negara diberikan kepada rakyat, ia menjadi medium BN sebagai kekuatan untuk menang di PRN ini,” katanya.
Tambah beliau, slogan Kestabilan dan Kemakmuran yang diperkenalkan BN juga sedikit sebanyak membantu meraih sokongan pengundi.
“Rakyat mahukan kestabilan politik dalam negeri di mana semua parti bersatu dalam satu gerakan, itu yang dinamakan kestabilan.
“Jangan buang masa berpolitik, bergaduh sebaliknya duduk semeja merancang dan panggil semua orang berunding memikirkan bagaimana menyelesaikan masalah negara dan rakyat,” katanya.
Selain itu, antara sebab BN memenangi PRN tersebut kerana mempunyai visi Keluarga Malaysia dan Bajet 2022 yang menyatukan perpaduan semua kaum serta membina satu masyarakat yang penyayang.
-MF-
sumber : Sinar Harian